M Update, 28/7/2020 – Malaysia bakal menghadapi gelombang ketiga COVID-19 jika rakyat tidak patuh dengan prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berikutan itu rakyat perlu mengambil tindakan pencegahan bagi mengelakkan kes baharu meningkat secara mendadak.
“Pada minggu lalu sahaja, sudah ada peningkatan 120 kes serta kluster baharu. Kluster baharu itu diibaratkan sebagai ‘bara’, manakala individu yang tidak mematuhi SOP pula adalah ‘bahan api’.
“Sekiranya bara itu bertemu dengan bahan api, sudah tentu ia akan menghasilkan pertambahan kes baharu secara mendadak.
“Sekiranya itu berlaku, fasiliti kesihatan di Malaysia tidak mampu untuk merawat jumlah pesakit,” katanya dalam sidang media COVID-19, semalam.