Input your search keywords and press Enter.

Jangan terpedaya surat palsu

M Update, 29/1/2019 – SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tidak pernah menghubungi mana-mana pihak menerusi surat bagi menutup sebarang kes rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya akui menerima banyak aduan daripada orang awam yang terpedaya dengan surat palsu itu, akhir-akhir ini.

“Sehubungan itu, orang ramai yang menerima sebarang surat meragukan, dinasihat mendapatkan pengesahan daripada mana-mana pejabat SPRM terdekat atau talian 1-800-88-6000 mahupun di portal rasmi www.sprm.gov.my.

“SPRM juga berharap orang ramai lebih peka dan berkongsi maklumat ini bersama masyarakat di sekeliling supaya tidak terpedaya dengan surat palsu tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, SPRM mendedahkan penularan surat bertajuk ‘Tawaran Untuk Menutup Kes’ kononnya dikeluarkan oleh Ketua Bahagian Penyiasatan agensi itu. Surat yang turut memaparkan Kod QR bitcoin itu memaklumkan, satu kertas siasatan dibuka oleh SPRM untuk menyiasat satu kes rasuah.

Antara lain, surat itu menyatakan penerima surat akan didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. Bagaimanapun, penerima turut ditawarkan untuk menutup kertas siasatan dan menghapuskan bukti dengan syarat, penerima perlu membayar RM100,000 ke akaun bitcoin dalam tempoh 30 hari dari tarikh terima surat. – HM Online

Leave a Reply