M Update, 2/12/2020 – Bangunan di Jalan Perusahaan Kiri, Setapak di sini, yang dalam kerja baik pulih runtuh, menyebabkan tiga pekerja warga asing cedera termasuk dua dihempap runtuhan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.27 tengah hari tadi.
“Seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, kami mendapati berlaku runtuhan semasa menjalankan kerja-kerja baik pulih dan mencederakan tiga orang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, seorang pekerja 38 tahun cedera ringan selepas berjaya keluar sendiri, namun dua rakannya berusia 28 dan 36 tahun dihempap runtuhan.
“Anggota bertindak pantas mengeluarkan mereka yang cedra di kepala selain patah kaki,” katanya.
Jurucakap itu memaklumkan semua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan operasi tamat sepenuhnya pada 1.41 tengah hari.