M Update, 7/12/2020 – Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menasihatkan sebuah pusat beli belah di Tampoi di sini, ditutup sementara susulan beberapa pekerja di premis itu disahkan positif COVID-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia bagaimanapun boleh beroperasi jika proses sanitasi dan nyah cemar sudah dilakukan secara menyeluruh.
“KKM sudah menasihati pengurusan supaya pusat beli-belah itu ditutup sementara bagi menjalankan proses sanitasi dan nyah cemar secara menyeluruh.
“Proses sanitasi penting bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Jika pihak pengurusan cepat buat proses sanitasi dengan menyeluruh, pusat beli belah tak perlu tutup,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sejak semalam, akaun Facebook rasmi pusat beli-belah berkenaan dibanjiri komen netizen susulan beberapa pekerja yang disahkan positif COVID-19 tetapi pihak pengurusan enggan menutup sementara kompleks berkenaan.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, kluster baharu iaitu Kluster Jalan Tampoi dikesan di Johor Bahru dan sudah menjangkiti 17 individu.
Sementara itu, Dr Adham meminta semua pihak bertenang kerana individu yang diklasifikasi sebagai kontak rapat dan positif sudah diasingkan.
“Yang tinggal adalah negatif dan tidak terdedah atau bukan kontak rapat, ” katanya.
Pengurusan pusat beli-belah berkenaan ketika dihubungi berkata, akan mengeluarkan kenyataan media hari ini.
Semakan di akaun Facebook rasmi pusat beli-belah itu menyatakan proses sanitasi dan nyah cemar sudah dibuat di di premis berkenaan pada 2 dan 4 Disember lalu.