Input your search keywords and press Enter.

APMM Tumpaskan Cubaan Seluduh Dadah Terbesar Tahun Ini

M Update, 7/12/2020 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang menahan dua lelaki warga asing dan merampas 240 kilogram (kg) methamphetamine serta 9.3 kg pil ekstasi bernilai RM10.53 juta, selepas menahan sebuah bot di kawasan perairan 3.0 batu nautika barat daya Pulau Betong, minggu lepas.

Pengarahnya Kapt (M) Abd Razak Mohamed berkata bot rekreasi tanpa nombor pendaftaran itu ditahan oleh bot peronda Maritim pada kira-kira pukul 7.30 malam Khamis, dan ia merupakan rampasan terbesar pihaknya tahun ini.

Beliau berkata bot peronda Maritim itu sedang menjalankan rondaan di kawasan perairan antara Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul dekat sini pada hari berkenaan apabila mereka ternampak sebuah bot rekreasi dalam keadaan mencurigakan dan memintanya berhenti, namun bot itu terus memecut.

“Ketika bot kami semakin menghampiri, dua lelaki di dalam bot itu dikesan mencampakkan pelbagai objek termasuk beg pakaian ke dalam laut sebelum mereka turut sama terjun, manakala bot itu dibiarkan memecut laju sebagai helah untuk tidak ditangkap,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya anggota APMM memeriksa kawasan perairan itu dan menjumpai lapan beg pakaian berwarna hitam mengandungi dadah jenis methamphetamine dan sebuah beg mengandungi pil ekstasi, manakala dua lelaki yang terjun tidak ditemui ketika itu.

Abd Razak berkata selepas diperiksa, pihaknya menemui 240 ketulan methamphetamine yang setiap satu seberat kilogram dibungkus dalam bungkusan teh Cina serta 9.3 kg pil ekstasi yang dipercayai dibawa dari Indonesia untuk pasaran dalam negara.

Beliau berkata dua lelaki warga Indonesia berusia 30-an yang terjun daripada bot rekreasi berkenaan bagaimanapun ditemui oleh nelayan tempatan kemudiannya, sebelum mereka diserahkan kepada pihaknya. 

“Dua lelaki tanpa dokumen pengenalan diri itu diselamatkan oleh nelayan di Pulau Betong dan Sungai Pinang selepas mereka terapung lebih 10 jam. Kami turut merampas bot rekreasi yang bernilai sekitar RM150,000 itu,” katanya.