Input your search keywords and press Enter.

Selangor Tarik Balik Tauliah Mengajar Ustaz Don Daniyal

M Update, 13/08/2024 – Kerajaan Selangor menarik balik tauliah mengajar diberikan kepada pendakwah selebriti Ustaz Don Daniyal Bon Bijayid bermula 24 Julai lalu.

Perkara tersebut disahkan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah selepas edaran surat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tular di media sosial pada Isnin.

Menurutnya, sebarang keputusan untuk menilai semula tauliah telah diberikan MAIS bermula daripada aduan awam sebelum siasatan lanjut dibuat Jawatankuasa Siasatan MAIS di bawah agensi itu.

“Setiap pemegang tauliah ini dibekalkan dengan lesen atau kategori tauliah itu sangat khusus contohnya D3 yang hanya membolehkan pemegang itu mengajar al Quran.

“Kalau dia guna tauliah itu pergi ke masjid untuk berceramah, luar daripada topik tersebut dan aduan boleh dibuat. Itu sebagai salah satu contoh sebab-sebab tauliah boleh ditarik balik.

“Jadi ia bermula daripada aduan awam yang dikemukakan seterusnya siasatan dibuat sebelum keputusan dapat diambil MAIS,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini pada Isnin.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung surat edaran MAIS yang bertarikh 6 Ogos lalu kepada masjid dan surau daerah di Selangor.

Berdasarkan surat tersebut, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah MAIS telah memutuskan untuk menarik balik tauliah mengajar terhadap lima pemegang tauliah MAIS termasuk kepada Ustaz Don Daniyal berkuat kuasa 24 Julai lalu.

Mengikut surat edaran terbabit, tauliah mengajar bagi pendakwah selebriti tersebut adalah sepatutnya bagi tempoh 2 Julai 2020 hingga 30 Jun 2025.

Empat individu lain yang turut menerima nasib sama termasuk Mohd Shahabudin Md Yatim; Mohd Udzair Mohamad Zaid; Muhammad Hairullah Hassim dan Syed Mohd Norhisyham Tuan Padang.

Sehubungan itu, kesemua masjid dan surau tidak benarkan mengundang kelima-lima mereka untuk mengajar. Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi yang tidak memperincikan kesalahan lima pemegang tauliah MAIS itu berkata, rayuan tetap dibuka di bawah jawatankuasa rayuan namun buat sementara ini keputusan itu kekal. – Sinar Harian