
M Update, 10/02/2025 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan akan memastikan gula-gula berbentuk vape tidak dijual di dalam dan luar kawasan sekolah bagi melindungi pelajar daripada ancaman kesihatan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang menjual produk tersebut termasuk makanan berbahaya kepada pelajar.
“KPM tidak akan berkompromi dalam isu ini. Kami akan memastikan tiada penjualan gula-gula berbentuk vape di kawasan sekolah, malah akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengawal penjualannya di luar sekolah,” katanya.
Menurut Fadhlina, KPM juga akan mengadakan perbincangan dengan PBT serta KKM bagi memastikan makanan yang membahayakan kesihatan pelajar tidak mudah diperoleh.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow sebelum ini mendedahkan bahawa produk berwarna-warni itu menarik perhatian kanak-kanak seawal usia tiga tahun, sekali gus boleh menjadi ‘pintu masuk’ kepada ketagihan vape apabila mereka meningkat usia.
Trend baharu penjualan gula-gula berbentuk peranti vape dan jarum suntikan yang semakin berleluasa di pasaran tempatan. Fenomena itu mencetus kebimbangan kerana dikhuatiri mampu mempengaruhi kanak-kanak untuk mula merokok dan menghisap vape.