
M Update, 02/07/2025 – Suspek utama yang dipercayai terlibat dalam kejadian pembunuhan seorang penuntut universiti swasta di unit kondominium di Cyberjaya, Selasa lalu dipercayai mempunyai niat tidak baik terhadap mangsa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek terbabit dipercayai merupakan teman lelaki kepada salah seorang daripada dua suspek perempuan yang ditahan sebelum ini.
Siasatan mendapati suspek beberapa kali pernah menginap di unit kondominium berkenaan bersama teman wanitanya. Kad akses dan kunci premis diserahkan sendiri oleh teman wanitanya, polis juga tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai niat jahat terhadap mangsa.
Ketika kejadian berlaku, mangsa tinggal bersendirian disebabkan rakan serumahnya pulang ke kampung ketika cuti semester. Suspek didapati mengambil kesempatan terhadap mangsa yang tinggal berseorangan.

Siasatan mendapati suspek ada niat tidak baik kepada mangsa, bila ada peluang, suspek guna kad akses diberikan teman wanitanya untuk masuk ke premis. Suspek kemudian dipercayai memukul mangsa menggunakan objek sehingga mengakibatkan kecederaan yang menjadi punca kematiannya.
Mengulas lanjut berkaitan dakwaan mangsa dirogol ketika kejadian, Hussein berkata, berdasarkan keterangan patologi tidak mengesan sebarang aktiviti rogol.
Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sebarang aktiviti atau perlakuan berkenaan terhadap mangsa.
Hussein berkata, suspek turut bertindak melupus barangan dan membuang dua gajet milik mangsa. Suspek bertindak membuang telefon bimbit dan melupus komputer riba, kunci dan kad akses rumah mangsa. Bagaimanapun, beberapa peralatan berkenaan telah berjaya dikesan pihak polis.
Kes pembunuhan ini berjaya diselesaikan dalam tempoh 48 jam susulan tangkapan empat suspek termasuk seorang suspek utama baru-baru ini dipercayai terlibat dalam kejadian.

Tangkapan melibatkan seorang lelaki dan tiga wanita termasuk seorang merupakan kekasih kepada suspek utama, seorang rakan kepada mangsa yang tinggal di atas unit rumah mangsa serta seorang lagi yang bersama suspek utama semasa pengeluaran kad ATM itu.
Suspek terlibat dalam kejadian ini dipercayai sempat mengeluarkan wang sebanyak RM200 menerusi kad mesin pengeluaran automatik (ATM) mangsa. – Sinar Harian