
M Update, 22/07/2025 – Semua majikan di seluruh negara tanpa pengecualian diwajibkan membayar gaji minimum RM1,700 sebulan kepada pekerja bermula 1 Ogos ini, demikian menurut Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
Pelaksanaan penuh Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 itu akan merangkumi semua majikan tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan, termasuk majikan yang sebelum ini diberi penangguhan selama enam bulan.
Menurut Kesuma, kadar baharu itu telah diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan mula dilaksanakan pada 1 Februari lalu bagi majikan yang mempunyai lima orang pekerja dan ke atas serta bagi majikan yang menjalankan aktiviti profesional seperti diklasifikasikan di bawah Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO) 2020.
“Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, tempoh penangguhan pelaksanaan selama enam bulan diberikan dan akan tamat pada 31 Julai,” jelas kementerian itu.
Perintah itu turut terpakai kepada pekerja bukan warganegara dan pekerja kontrak perantisan, namun tidak melibatkan pekhidmat domestik.
Kesuma menegaskan bahawa semua majikan perlu menyemak semula struktur gaji syarikat agar tiada pekerja menerima gaji pokok di bawah kadar minimum yang ditetapkan.
“Majikan juga perlu membuat penyesuaian operasi secara progresif dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan pelaburan dalam latihan kemahiran pekerja,” menurut kenyataan itu.
Kegagalan mematuhi perintah tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732], dan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja.
Selain itu, denda tambahan sebanyak RM1,000 akan dikenakan bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan, manakala bagi kesalahan berulang, majikan boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.
Dalam masa yang sama, kerajaan turut menggalakkan majikan menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) yang bersifat sukarela dan bertindak sebagai pelengkap kepada pelaksanaan gaji minimum.
“Melalui DGP, majikan berpeluang meningkatkan pendapatan pekerja berdasarkan produktiviti, kemahiran dan sumbangan kerja, sambil menikmati insentif tunai bersasar daripada kerajaan,” jelas kenyataan itu.
Menurut Kesuma, langkah ini membantu syarikat mengekalkan pekerja berkemahiran tinggi dan mengukuhkan daya saing dalam pasaran buruh yang semakin mencabar.