
M Update, 23/07/2025 – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan program yang diserbu polis Kelantan bulan lalu, disyaki ‘parti gay’ sebenarnya program kesedaran kesihatan berkaitan HIV.
Pengesahan itu dibuat menerusi jawapan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di laman X rasminya malam tadi, sebagai respon kepada hantaran yang memintanya mempertahankan program kesedaran HIV itu.
Bagaimanapun, kementerian tidak mengulas mengenai operasi yang dijalankan oleh pihak polis.
Dalam maklum balasnya, Dr Dzulkefly berkongsi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin semalam berhubung program itu.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa aktiviti jangkauan komuniti dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi di bawah Yayasan AIDS Malaysia iaitu Persatuan Pengantara Pesakit Kelantan (Sahabat).
Kerjasama antara KKM, Jabatan Kesihatan Negeri dan NGO kesihatan adalah penting dalam usaha menjangkau populasi berisiko tinggi bagi meningkatkan pengetahuan mengenai strategi pencegahan, kepentingan diagnosis awal serta manfaat rawatan awal dalam mencegah komplikasi serius,” menurut kenyataan itu.
Ia turut menyatakan bahawa pendidikan kesihatan amat penting untuk melindungi kontak rapat seperti isteri dan anak-anak yang mungkin berisiko dijangkiti HIV.
Dr Zaini memaklumkan bahawa Sahabat sudah menjadi rakan strategik Jabatan Kesihatan Kelantan sejak 2006 dalam melaksanakan program pendidikan kesihatan dan aktiviti lapangan yang menyasarkan kumpulan berisiko tinggi termasuk penagih dadah suntikan dan lelaki yang melakukan hubungan seks sesama lelaki.
“Usaha ini memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran mengenai jangkitan HIV, jangkitan penyakit kelamin dan Hepatitis C,” katanya.
Terdahulu, pada 17 Jun lalu, polis dilaporkan menyerbu program berkenaan pada jam 1 pagi, dan merampas ubat HIV serta kondom. Operasi itu dijalankan susulan maklumat awam dan risikan oleh pasukan khas selepas menerima aduan mengenai satu acara bertemakan makanan yang didakwa dianjurkan untuk komuniti gay.
Bagaimanapun, beberapa NGO menolak dakwaan bahawa ia ‘parti gay’ sebaliknya menjelaskan bahawa program itu bertujuan memberikan maklumat berkaitan kesihatan seksual dan HIV, mengedar kondom serta menawarkan ujian saringan secara sukarela bagi menggalakkan amalan seks yang lebih selamat.
Majlis AIDS Malaysia, yang turut terbabit dalam program itu, memaklumkan bahawa sesi lewat malam diadakan bagi memastikan kerahsiaan semasa ujian HIV, yang mengambil masa 10 hingga 15 minit bagi setiap individu, di mana mereka yang didapati reaktif akan menerima kaunseling dan dirujuk untuk rawatan susulan. – Buletin TV3