BAPA DIDAKWA DIPUKUL SELEPAS KEMALANGAN, ANAK RAYU BANTUAN CARI SAKSI

Tangkap layar video tular seorang lelaki didakwa menyiku seorang individu dalam kejadian di Pasir Panjang, Terengganu.

M Update, 24/11/2026 – Seorang lelaki merayu bantuan orang ramai untuk mengesan individu yang didakwa memukul bapanya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Pasir Panjang, Terengganu.

Kejadian itu dikongsikan menerusi satu rakaman video oleh pengguna Facebook, Daniel Haiqal, yang memaparkan seorang lelaki berpakaian jaket dan bertopi hitam memegang bahu bapanya di tepi jalan ketika hujan.

Lelaki terbabit kemudian dilihat menyiku bahagian muka mangsa sehingga menyebabkan bapanya terjatuh ke belakang.

Individu sama turut didakwa menendang mangsa, namun tidak dapat dipastikan sama ada sepakan itu mengenai sasaran kerana pergerakannya terlindung di sebalik sebuah kereta.

Beberapa individu yang berada di lokasi dilihat cuba menenangkan lelaki berkenaan sebelum dia meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza berwarna ungu bersama seorang lagi individu berbaju dan bertopi merah.

Menerusi perkongsian itu, Daniel mendakwa bapanya terlibat dalam kemalangan selepas kereta dipandu mangsa dilanggar dari arah belakang.

Menurutnya, bapanya keluar daripada kenderaan untuk memeriksa keadaan kereta sebelum secara tiba-tiba diserang oleh seorang lelaki.

Sehubungan itu, beliau meminta bantuan orang ramai yang berada di kawasan kejadian, khususnya mereka yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau menyaksikan insiden berkenaan supaya tampil berkongsi maklumat.

Katanya, rakaman berkenaan diperlukan bagi membantu mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kejadian yang berlaku.