Tiga Lelaki Direman Empat Hari Kes Serang Warga Emas

M Update, 25/11/2026 – Tiga lelaki ditahan reman selama empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan berhubung kejadian menyerang seorang warga emas di Lorong Ikhwan, Jalan Pasir Panjang, Isnin lalu.
Perintah reman sehingga Sabtu itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Amir Zainul Muttaqin Mohd Zamri.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, ketiga-tiga suspek yang merupakan warga tempatan berusia antara 39 hingga 44 tahun itu ditahan pada petang Selasa.
Menurutnya, kejadian dipercayai bermula apabila sebuah kereta Perodua Alza melanggar bahagian belakang kereta Skoda yang dipandu isteri mangsa.

Mangsa yang keluar daripada kenderaan untuk memeriksa kerosakan bagaimanapun didakwa diserang oleh individu yang menaiki Perodua Alza berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, lelaki berusia 62 tahun terbabit mengalami kecederaan pada bahagian muka, hidung dan mulut.
Insiden berkenaan turut menjadi perhatian ramai selepas rakaman video memaparkan warga emas itu diserang tersebar di media sosial dan mencetuskan kemarahan orang ramai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
