M Update, 22/2/2019 – PENGAWAL keselamatan di restoran yang dalam fasa akhir pembinaan kini ketakutan apabila premis jagaannya itu beberapa kali ditembak individu tidak dikenali sejak Tahun Baru Cina lalu.
Terbaru, pondok pengawal tempatnya berkawal ditembak 5.50 pagi hari ini, namun mangsa A Paskanathen, 67, tidak mengalami sebarang kecederaan. Kejadian pagi tadi sangat bahaya, ketika saya berada dalam pondok pengawal, saya mendengar bunyi motosikal berhenti berhampiran pondok dan ingin melihat siapa sebelum terpandang pembonceng motosikal itu sedang mengacukan pistol.
Terkejut dengan keadaan itu, saya terus meniarap atas lantai. Kemudian kedengaran letupan dan sebaik motosikal itu beredar, pemeriksaan mendapati cermin pondok pengawal ada kesan lubang tembakan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini. Menurutnya, itu adalah kali ketiga premis berkenaan ditembak dengan kejadian pertama adalah pada kira-kira 5 pagi, 5 Februari lalu yang mengenai dinding kaca restoran yang sedang dibina berkenaan.
Ketika itu saya sedang berjalan di hadapan restoran terbabit sebelum mendengar bunyi seperti mercun, namun pemeriksaan mendapati dinding kaca mengalami keretakan serta kesan berlubang. Kali kedua pula pada 2 pagi, Rabu lalu dengan cermin pondok tempat saya berkawal ditembak,” katanya. Menurutnya, kejadian itu dilakukan oleh dua individu yang tidak dikenali dan menaiki motosikal dengan pembonceng yang bersenjata serta melepaskan tembakan.
Paskanathen yang bekerja syif 7 malam hingga 7 pagi itu berkata, kejadian berkenaan membuatkannya berasa takut dan bercadang ingin berhenti kerja hujung bulan ini. Sementara itu rakan sekerjanya yang bekerja syif siang, Mohd Helmi Nathan Abdullah, 63, berkata, kejadian pertama dilaporkan kepada majikan, namun tiada laporan polis dibuat kerana majikan menyangkakan ia mungkin perbuatan budak nakal yang melastik premis berkenaan. Malangnya ia berulang pada Rabu dan pagi ini yang kedua-dua kejadian itu sudah dilaporkan di Balai Polis Sungai Senam pada hari kejadian.
Kami tidak pasti apa motif tembakan ini dan sebagai pengawal keselamatan kami bimbangkan keselamatan diri kami susulan ia bukan sekali berlaku tetapi tiga kali dalam bulan ini,” katanya.
Sumber : HM Online