Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidn menyatakan majoriti penduduk Islam di seluruh dunia lebih 1.8 bilion dan Malaysia memiliki peluang luas untuk memanfaatkan pasaran ini memandangkan negara telah diiktiraf sebagai peneraju Petunjuk Ekonomi Islam Global oleh Pusat Pembangunan Ekonomi Islam Dubai dalam Laporan Ekonomi Islam Global yang dikeluarkan pada Oktober 2018.
Oleh itu, peserta industri halal Malaysia perlu mempergiat usaha dengan mengambil peluang dalam pasaran halal global bernilai AS$3 trilion. Bagaimanapun, dalam tempoh ketidaktentuan ini, akan lebih bermakna sekiranya Malaysia dan negara ASEAN lain menggabungkan kelebihan masing-masing.
Selain itu, dalam majlis penutupan Persidangan Halal Dunia (WHC) 2019, beliau menyatakan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) US$2.77 trilion pada 2017 dan KDNK sebenar 5.3% tahun ke tahun, ASEAN mempunyai lebih 60 peratus penduduk Islam di dunia dan boleh menyediakan pasaran luas kepada ekonomi Islam.
Naib Presiden (Pembangunan Industri) halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC), Hanisofian Alias mengemukakan 7 resolusi yang dapat dicapai daripada persidangan yang diadakan selama dua hari itu.
Ia termasuk pewujudan piawaian global yang konsisten, pensijilan dan ketelusan, menerima aspek halal sebagai peluang bagi pembangunan ekonomi berbanding hanya terhad sebagai istilah agama, serta menjadikan halal sebagai cara mapan kehidupan dan menjalankan perniagaan.
Persidangan itu juga mengesyorkan penerimagunaan teknologi baharu dan aliran pesat dalam dunia digital, membolehkan usaha kerajaan kepada kerajaan, mewujudkan situasi konsisten secara menyeluruh dalam rantaian bekalan, serta memanfaatkan peluang tersedia dalam sektor halal pesat membangun.
WHC, diwujudkan sejak 2007, menghimpunkan 1,200 peserta dari 50 negara tahun ini dengan tema ‘Fostering A Robust Halal Economy: Global Integration and Ethical Practice’ (Penggalakan Ekonomi Halal yang Kukuh: Penyepaduan Global dan Amalan Beretika).