M Update, 15/4/2019 – Pelawak Mazlan Ahmad, 50 atau Lan Pet Pet didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, selepas mengaku bersalah memukul seorang pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, Nilai pada 6 April lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, hukuman itu dijatuhkan sebaik pelawak berasal dari Kedah itu mengaku salah di atas pertuduhan dikenakan terhadapnya. Kes dianggap selesai kerana pelakon ini sudah dihadapkan di mahkamah dan didenda,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Terdahulu, akhbar ini pada 7 April lalu melaporkan seorang pengawal keselamatan berusia 70 tahun cedera ditumbuk dan diterajang pelawak terbabit di perkarangan pondok pengawal di taman perumahan itu.
Dalam kejadian 8 malam, pelakon terbabit yang memandu Proton Perdana memasuki kawasan berkenaan itu tanpa memberhentikan kenderaan dan menulis butiran diri dalam buku pelawat. Disebabkan itu, pengawal itu menutup palang keselamatan menyebabkan kenderaan yang dipandu Mazlan tidak dapat keluar. Berlaku pertengkaran antara mereka sebelum mangsa ditumbuk di muka sebanyak tiga kali selain ditendang pada pinggang. Pelawak itu juga bertindak membaling batu ke arah mangsa.
Pelawak yang menganggotai kumpulan Senario pada 1998 dikatakan mengejar sebuah kereta milik penduduk dan berlaku pertengkaran di hadapan sebuah rumah. Akibat kejadian, polis bertindak menahan pelawak berkenaan pada 7 April tetapi dibebaskan dengan jaminan polis. – HM Online