Input your search keywords and press Enter.

Gunung Berapi Meletus di Pulau Kecil di Jepun

M Update, 17/1/2019 – Gunung berapi di Jepun meletus pada hari Khamis, memuntahkan abu dan asap sehingga enam kilometer ke udara di sebuah pulau kecil di selatan.

Tiada laporan mengenai kecederaan atau kerosakan akibat letusan di Kuchinoerabu, yang terletak di selatan Jepun.

Seorang pegawai tempatan berkata tidak ada pemindahan di pulau itu kerana hanya 109 penduduk sahaja yang tinggal di kawasan itu.

Imej foto yang disiarkan NHK menunjukkan asap dan debu yang tebal berkepul di udara atas pulau itu.

“Kami dengar letupan yang kuat dan ada gegaran seperti gempa bumi” kata seorang penduduk.

Agensi meteorologi mengatakan letusan itu berlaku sejurus selepas ia mengeluarkan amaran baru.

“Terdapat letusan di sana (pulau) sejak tahun lepas tetapi kami mengeluarkan amaran (pagi ini) untuk letusan terbaru, ini kerana ia akan memberi kesan yang lebih luas,” kata Jun Fujimatsu, seorang pegawai di bahagian aktiviti gunung berapi agensi itu.

“Kami telah mengekalkan pada tahap ketiga, yang bermaksud larangan memasuki kawasan gunung berapi,” katanya kepada AFP.

“Terdapat beberapa kawah di gunung berapi … Zon bahaya adalah dua kilometer (1.2 batu) dari kawah Shindake,” tambahnya.

“Kami tidak fikir letusan terbaru akan melanda seluruh pulau.”

Jurucakap kerajaan Yoshihide Suga berkata bau asap dan abu dari letusan itu meningkat kepada 6,000 meter.

“Tetapi tiada kesan kepada masyarakat dan tiada kecederaan atau kerosakan yang dilaporkan,” katanya kepada pemberita.

Kini terdapat 71 rumah yang terdiri daripada 109 orang yang tinggal di pulau itu, termasuk beberapa orang yang hanya beberapa kilometer dari kawah,” kata pegawai tempatan Shogo Sado kepada AFP.

Beliau mengesahkan tiada pemindahan dilakukan tetapi berkata persiapan sedang dilakukan sekiranya ia perlu untuk memindahkan orang, yang mana sesetengahnya warga emas dan lemah.

Pada tahun 2015, semua 140 orang yang tinggal di pulau itu dipindahkan selepas letusan kuat berlaku menyebabkan kepulan awan hitam dan debu yang tebal sehingga setinggi 9,000 meter (29,500 kaki) dan menghasilkan gempa selama lima minit.

Jepun terletak dalam lingkaran pasifik gunung berapi aktif di mana sebahagian besar gempa bumi dan letusan gunung berapi direkodkan.

Pada Januari 2018, seorang askar Jepun terbunuh dan beberapa orang lain cedera selepas letusan berhampiran sebuah resort ski popular di barat laut Tokyo.

Pada 27 September 2014, Jepun menderita letusan paling dahsyat dalam hampir 90 tahun ketika Gunung Ontake, di pusat daerah Nagano meletup tanpa disangka. Beribu-ribu orang terbunuh dalam letusan mengejut itu kerana berlaku pada waktu puncak semasa ramai orang berjalan kaki untuk menikmati warna-warni musim luruh.

Sumber: AFP

Leave a Reply