Input your search keywords and press Enter.

Apa Makna Malaysia Baru

Apabila Pakatan Harapan berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan dan beberapa buah negeri semasa PRU14 tahun lalu, salah satu slogan popular ialah Malaysia Baharu. Namun begitu, apabila kita turun di khalayak masyarakat, daripada percakapan dan pendengaran, rupanya ramai yang tidak jelas apakah maksud Malaysia Baharu. Adakah Malaysia Baharu itu bermaksud kemerdekaan semula atau memperbaharui segala-galanya?

Dari segi definisi (DBP), perkataan baharu itu membawa makna membaiki, memulakan sesuatu yang baharu, menggantikan sesuatu dengan yang baharu. Oleh itu, Malaysia Baharu adalah usaha untuk membaiki apa yang dilihat perlu ditambahbaik di negara ini dan untuk mengulangi lagi kejayaan negara yang membanggakan di satu ketika dahulu.

Konsep Malaysia Baharu ini juga akan memulakan semula langkah ke arah Malaysia yang lebih progresif dan berwawasan dalam membina ketamadunan dan berperadaban tinggi selain menggantikan strategi-stategi baharu sehingga matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat dan disegani rakan serantau akan tercapai.

Dalam pada itu, YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-73 (2018), di New York menyatakan melalui konsep Malaysia Baharu, Kerajaan komited untuk memastikan setiap rakyat Malaysia akan menikmati kemakmuran negara dengan pembahagian yang saksama.

Hendaklah diingat bahawa kemunculan Malaysia Baharu adalah respon daripada rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dalam sistem politik, kerajaan, ekonomi dan sosial. Rakyat Malaysia mahukan satu Malaysia Baharu yang menjunjung prinsip-prinsip keadilan, yang mempunyai tadbir urus yang baik dan berintegriti serta menyanjung tinggi konsep kedaulatan undang-undang. Baiklah mari kita lihat satu persatu maksud Malaysia Baharu.

Pertama daripada sudut Kabinet. Saiz Kabinet yang dibentuk adalah sederhana, berdasarkan keperluan dan tidak melebihi 30 anggota. Dalam setiap kementerin akan dipilih dari parti-parti berlainan. Kaedah membuat keputusan di dalam kabinet pula tidak lagi berdsarkan konsensus sebaliknya berdasarkan peraturan majoriti. Dengan kaedah ini, sesuatu keputusan yang hendak dicapai akan berdasarkan suara majoriti. Kelemahan kaedah consensus sebelum ini ialah sesuatu keputusan sukar dicapai dan ianya akan merugikan negara dan rakyat.

Perkara kedua ialah memperhebatkan pembanterasan rasuah. Gerakan anti rasuah di dalam kerajaan diperhebatkan untuk memastikan tiada mana-mana anggota kabinet terbabit langsung di dalam amalan rasuah. Tiada hadiah patut diterima daripada mana-mana pihak di dalam kerajaan melainkan hadiah yang terhad seperti makanan atau bunga yang tidak termasuk di dalam barangan yang bernilai. Segala bantuan atau derma yang didermakan kepada mana-mana pihak di dalam kerajaan tidak boleh diterima dengan sewenang-wenangnya tanpa pengetahuan dan keizinan daripada kebinet terlebih dahulu. Penakrifan perbuatan yang boleh dianggap sebagai rasuah akan diperkemaskan untuk memastikan bukan sahaja penerima dihukum, malah pemberi rasuah juga akan menghadapi tindakan undang-undang.

Perkara ketiga mengenai kebebasan media. Melalui slogan Malaysia Baharu, media dan akhbar yang berpihak kepada satu-satu organisasi tidak akan disekat asalkan laporan yang dikeluarkan oleh media tersebut mempunyai rekod rasmi. Walaubagaimanapun, perbuatan menghasut rakyat melalui media sosial yang menimbulkan suasana tegang tidak akan dibenarkan. Media juga bebas untuk melaporkan perkara-perkara yang dianggap tidak disenangi oleh kerajaan dan dijamin tiada tindakan akan diambil selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang. Definisi berita palsu akan dikaji untuk menentukan makna yang jelas bagi berita palsu supaya orang ramai dapat membezakan dengan jelas maksud berita palsu.

Dalam bidang perniagaan, dasar yang akan diamalkan adalah dasar yang mesra perniagaan dengan penyertaan yang lebih terbuka. Urusan dalam memulakan perniagaan akan dipermudahkan dengan pengurangan proses yang diperlukan sebelum sesuatu perniagaan dapat dimulakan. Larangan-larangan lapuk dalam undang-undang perniagaan akan dikaji semula.

Berkenaan ekonomi, Kerajaan akan melihat semula undang-undang yang menyekat kebebasan untuk berniaga dalam usaha untuk menjadikan aktiviti-aktiviti yang lebih bebas dan mudah. Kesemua projek-projek yang akan diakukan melalui sistem tender terbuka di mana ianya akan dipantau oleh pegawai-pegawai yang ditugaskan menyelidik sekiranya berlaku pertikaian di dalam pemilihan tender tersebeut. Galakan pelaburan kerajaan mengalu-alukan pelaburan dari dalam negeri dan luar negeri (Foreign Direct Investment-FDI). Bagi FDI, ia terhad kepada membawa modal dan teknologi, mendirikan kilang dan mengeluarkan produk pasaran tempatan atau eksport. Bagi projek pembangunan seperti pembinaan bandar baharu, syarikat tempatan lebih berkelayakan. Kerajaan akan membuat kajian mengenai prestasi ekonomi dalam negara dan akan diselidik dengan teliti untuk mengenalpasti liabiliti yang ditanggung serta mengenalpasti hak milik kerajaan yang ada. Penyertaan asing, bagi projek-projek insfrastruktur berskala besar, penyertaan asing hanya akan dibenarkan jika tiada kepakaran tempatan.

Kerajaan juga akan mengenalpasti perbuatan-perbuatan curang yang dilakukan seperti memaksa para pengusaha industri memberikan saham percuma free share kepada pihak-pihak tertentu.

Berkenaan Rule of law, dari segi pentadbiran, kesemua gerak kerja Kerajaan dalam mentadbir kerajaan akan dijalankan dengan mengikut undang-undang. Layanan adil kerajaan dan sesiapa sahaja akan patuh kepada undang-undang dan ianya akan dikenakan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira pangkat, status mahupun darjat seseorang itu. Peremajaan undang-undang sedia ada yang telah lapuk dan tidak lagi sesuai akan dikaji semula melalui proses-proses yang termaktub di dalam peraturan-peraturan tertentu, yakni melalui parlimen.

Kerajaan komited untuk mengagihkan kekayaan negara kepada semua pihak dengan adil dan saksama. Kerajaan Persekutuan akan mengembalikan semula status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak selaras dengan perkara-perkara yang dinyatakan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta mengkaji sejauh mana perkara di dalam MA63 dilaksanakan bagi menjaga  hak dan kepentingan penduduk tempatan di Sabah dan Sarawak.

Kesimpulan

Negara kita sedang melalui sejarah baharu di mana perubahan paling besar sedang berlaku sejak kemerdekaan (1957) dan pembentukan Persekutuan Malaysia (1963). Negara ini sedang melalui fasa perubahan dan pembaharuan yang menuntut semua pihak berganding bahu dan berusaha untuk mencapai matlamat Malaysia Baharu. Dengan memahami makna Malaysia Baharu ini, kita sebagai rakyat yang cintakan negara hendaklah memberi kerjasama supaya kita sama-sama dapat mengecapi nikmat kemerdekaan, kemakmuran dan kejayaan negara. Perkara paling penting dalam sistem politik dan kerajaan sekarang ialah bagaimanakah kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat terus hidup harmoni, aman dan bersatu-padu.

Sumber rujukan artikel ini adalah daripada kumpulan ucapan YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertajuk ‘MALAYSIA BAHARU’, Oktober, 2018 terbitan Perdana Digital.

Leave a Reply