Input your search keywords and press Enter.

Mencemari Kesucian Syariat Islam

Antara bentuk pencemaran terhadap kesucian syariat Islam adalah mempertikai hukum-hakam Islam, mengubah, menambah serta meringankan syariat dan pengamalan dalam Islam atau mendakwa wujudnya syariat yang baharu. Contohnya, ajaran Qadiani yang menghapuskan syariat hukum jihad atau ajaranajaran lain yang mendakwa bahawa solat, puasa atau ibadahibadah lain cukup hanya dengan niat. Contoh lain adalah ajaran yang menghalalkan nikah batin dan nikah mutaah seperti ajaran Syiah dan ajaran-ajaran sesat lain yang terbabit.

Selain itu, antara bentuk pencemaran terhadap kesucian syariat Islam adalah dakwaan adanya syariat baharu iaitu syariat yang lain daripada syariat yang telah diketahui umum. Ini adalah dakwaan nafsu dan kepentingan peribadi semata-mata. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Qur’an) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) daripada apa yang telah datang kepadamu daripada kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.” (Surah Al-Maa’idah; 5 : 48).

Sesungguhnya ajaran agama Islam yang meliputi tiga komponen utama iaitu iman atau akidah (kepercayaan), Islam atau syariat (pengamalan) dan ihsan atau akhlak (pengabdian atau sifat kehambaan) telah lengkap, tetap serta muktamad sebagai rujukan umat Islam di seluruh dunia. Justeru, sebarang ajaran dan dakwaan yang menyalahi rukun-rukun Islam, Iman dan Ihsan yang sedia maklum adalah ajaran yang sesat lagi menyesatkan.

Perlu diingatkan bahawa Rukun Iman akan kekal dengan enam rukunnya tanpa sebarang pindaan iaitu; (i) Percaya kepada Allah SWT, (ii) Percaya kepada para Malaikat, (iii) Percaya kepada kitab-kitab, (iv) Percaya kepada para rasul, (v) Percaya kepada hari akhirat dan, (vi) Percaya kepada qadak dan qadar. Kesemua perincian Rukun Iman ini perlulah dipelajari, difahami dan diyakini dengan sebaiknya melalui pembelajaran ilmu tauhid. Sebarang pengurangan atau penambahan terhadap Rukun Iman yang enam tersebut adalah ajaran yang sesat lagi menyesatkan.

Begitu juga Rukun Islam akan kekal dengan lima rukunnya tanpa sebarang pindaan. Dakwaan seperti solat fardu lima waktu tidak lagi wajib atau telah terangkat kewajipannya atau berkurangan bilangan waktu solat atau rakaatnya adalah ajaran sesat. Dakwaan seperti puasa bukan lagi pada bulan Ramadan atau hanya dengan beberapa hari atau bukan lagi waktunya bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari adalah ajaran sesat. Sebarang pengurangan atau penambahan terhadap Rukun Islam yang lima adalah ajaran yang sesat lagi menyesatkan. Kesemua perincian rukun Islam perlulah dipelajari, difahami dan diamalkan dengan sebaiknya melalui pembelajaran ilmu fiqh. Sama juga keadaannya dengan tuntutan ihsan. Perinciannya perlu dipelajari, difahami, ditekuni dan diamalkan dengan sebaiknya melalui pembelajaran ilmu tasawuf dan tarekat. Sebarang kecelaruan dan ketidakfahaman berkaitan isu-isu tasawuf dan tarekat perlulah dirujuk kepada ahlinya. Sesungguhnya ahli tasawuf dan tarekat yang perlu dijadikan rujukan ialah mereka yang sahih akidah (kepercayaan) dan syariatnya (pengamalannya). Adapun individu yang mendakwa membawa ajaran tasawuf dan tarekat tetapi akidah dan syariatnya menyeleweng daripada ajaran ASWJ adalah ajaran sesat dan menyesatkan.

Leave a Reply