Input your search keywords and press Enter.

Tingkatkan pengawasan di kawasan sunyi – TPM

M-Update,19/2/2019, KUALA LUMPUR: Tahap pengawasan di kawasan sunyi berisiko berlaku jenayah termasuk samun dan ragut perlu ditingkatkan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Timbalan Perdana Menteri juga mahu penambahbaikan aspek keselamatan dilakukan segera oleh pihak berkaitan, terutama yang mengendali kawasan berkenaan.

“Perlu ada pengawasan sepanjang masa. Jika (kawasan itu) ada CCTV (kamera litar tertutup), mesti ada bilik kawalan dan boleh ambil tindakan segera,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Bandar Malaysia, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Beliau mengulas kejadian seorang wanita berusia 48 tahun yang ditumbuk dan ditendang beberapa kali dalam kejadian samun dalam lif di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras di sini, Khamis lalu.Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, suspek warga tempatan dikatakan mengekori mangsa yang menaiki lif bersendirian sebelum menyerang serta melarikan barang mangsa.

Rakaman CCTV memaparkan tindakan suspek memukul mangsa tanpa belas kasihan dalam lif tersebar luas dalam laman sosial.Dr Wan Azizah juga menasihatkan semua wanita mengelak berjalan seorang diri di kawasan sunyi yang terdedah kepada ancaman jenayah.

“Memang ada masanya mereka perlu berjalan sendirian untuk ke tempat kerja atau pulang daripada menyelesaikan urusan harian, namun aspek keselamatan diri mesti diambil perhatian.“Elakkan berjalan sendiri di kawasan lengang kerana semua benda (ancaman jenayah) boleh berlaku,” katanya.

–Bharian

Leave a Reply