Input your search keywords and press Enter.

Catuan Air : 40,000 penduduk terlibat

M Update, 12/3/2019 – KIRA-kira 40,000 penduduk Felda Loke Heng, Bukit Waha dan Sungai Gembut di Kota Tinggi akan mengalami catuan air bermula hujung minggu ini berikutan paras air mentah di muka sauk loji rawatan air (LRA) di kedua-dua kawasan itu menyusut.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee berkata, catuan pertama kali sejak 2016 itu terpaksa dilakukan berikutan paras air jatuh ke tahap catuan.

Catuan air ini tidak boleh dielakkan selepas bacaan LRA di kedua-dua kawasan itu terus merosot ke tahap catuan berbanding paras normal. Kira-kira 15,000 pengguna bekalan air di Felda Loke Heng dan Felda Bukit Waha akan berdepan catuan fasa pertama hujung minggu ini selepas muka sauk LRA Loke Heng menyusut ke paras 1.43 meter berbanding paras normal 2.7 meter,” katanya.

Jimmy berkata, fasa kedua catuan membabitkan penduduk Sungai Gembut, Kota Tinggi apabila paras air di LRA Sungai Gembut menyusut ke paras 0.19 meter berbanding paras normal 0.70 meter. Kira-kira 25,000 penduduk di kawasan Sedili dan Sungai Gembut akan terbabit catuan fasa kedua kerana paras muka sauk itu hanya mampu bertahan selama lima hari saja,” katanya.

Katanya, pengumuman mengenai tarikh catuan itu akan dimaklumkan SAJ Ranhill Sdn Bhd sebaik fasa catuan dimulakan hujung minggu ini. Menurutnya, paras Empangan Sembrong Barat menyusut ke paras 8.30 meter berbanding paras normal (9.50 meter).

Bagaimanapun paras itu mampu bertahan selama 30 hari untuk mencecah paras catuan lapan meter dan empangan itu membekalkan air mentah bagi dirawat di LRA Sembrong Barat yang mempunyai liputan bekalan air terawat kepada sebahagian kawasan Kluang.

Sumber : HM Online

Leave a Reply