Input your search keywords and press Enter.

Hasrat Kelantan Laksana PKP Lebih Ketat Ditolak MKN

M Update, 05/05/2021 – Permohonan kali kedua Kelantan untuk melaksanakan ‘lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat di seluruh negeri ini, sekali lagi ditolak Kerajaan Pusat.

Difahamkan, permohonan itu ditolak atas alasan pelaksanaan langkah itu akan memberi implikasi besar kepada ramai pihak, selain banyak sektor ekonomi perlu ditutup. Sumber berkata, keputusan penolakan PKP lebih ketat itu diterima petang semalam, susulan cadangan dikemukakan kepada Kerajaan Pusat beberapa hari lalu.

“Sekiranya ‘lockdown’ dilaksanakan, Kerajaan Pusat perlu menyediakan insentif khas kepada golongan yang terjejas dan ia membabitkan peruntukan besar. Justeru, Kerajaan Pusat mencadangkan supaya Kelantan memperketatkan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada bagi mengekang penularan COVID-19.

“Sebagai contoh, jika SOP sekarang tiada had jumlah penumpang dalam sebuah kenderaan dan ia boleh diperketatkan kepada hanya dua individu untuk sebuah kenderaan, selain hanya ketua keluarga sahaja keluar untuk membeli barangan keperluan,” katanya.

Mengulas perkembangan itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, mengakui kerajaan negeri menghantar laporan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana merasakan kes di Kelantan sudah dianggap cemas dengan angka harian yang tinggi.

“Hampir setiap hari kes di Kelantan mencecah lebih 400 kes dan kita merasakan keadaan ini cemas. Namun kita akui untuk melaksanakan ‘lockdown’, ia memerlukan pandangan ramai dan pelbagai pihak kerana ia memberi kesan besar kepada ekonomi,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat EXCO, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, Kelantan membuat permohonan kali kedua untuk melaksanakan ‘lockdown’ atau PKP lebih ketat bagi membendung penularan COVID-19 di negeri ini yang semakin membimbangkan.

Difahamkan, sebelum ini Kelantan pernah memohon untuk pelaksanaan berkenaan namun ditolak oleh Kerajaan Pusat disebabkan kesan ekonomi yang terpaksa ditanggung pelbagai pihak. Permohonan itu dibuat disebabkan keadaan COVID-19 di Kelantan semakin membimbangkan sejak beberapa minggu lalu sehingga fasiliti di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) kritikal. – BH Online