Input your search keywords and press Enter.

PATRIOTISME & KAHWIN CAMPUR

Apabila bekerja di luar negara, saya biasanya memohon penganjur program menggunakan kapal Malaysia Airlines (MAS) kerana saya sangat yakin dan berbangga menaiki trademark negara sendiri.

Ketika di Dubai kami disambut oleh sahabat dari Singapura dan dibawa ke sebuah hotel baru di mana kebanyakan pekerjanya adalah orang pekerja dari India, Filipina dan Bangladesh. Selepas menyimpan beg, pada malam itu juga kami terus berkejar ke bangunan Konsul Malaysia di Dubai di mana rakyat Malaysia yang menetap di Dubai telah menunggu lama kehadiran kami. Ya malam itu juga acara sudah bermula, bukannya keesokan harinya. Kerja untuk negara tidak seharusnya mengira masa dan keadaan.

Saya mempunyai keyakinan tinggi bahawa elemen Patritoisme lebih penting daripada elemen perundangan kerana banyak kes-kes besar tidak dapat diselesaikan melalui undang-undang sedia ada. Seperti kata pakar undang-undang Profesor Madya Shamrahayu Abdul Aziz (UIA, TV Al-Hijrah,2019) bahawa undang-undang tidak akan boleh menyelesaikan semua masalah terutama isu-isu kenegaraan, politik, ekonomi dan sosial. Contonya, ada banyak undang-undang telah diluluskan tetapi penjualan barangan tiruan masih berleluasa, hukuman mati mandatori tidak menakutkan pengedar-pengedar dadah, penyeludupan senjata dan penyeludupan manusia masih berlaku.

Lihatlah di sekeliling kita, segelintir orang masih membuang sampah merata-rata walaupun di hadapannya tertera signboard “Dilarang Membuang Sampah,Denda RM10,000” dan sebagainya. Mengapakah perkara ini masih berlaku? Salah satu sebabnya ialah mereka tidak mempunyai nilai Patriotik kepada negara sendiri. Jika mereka Patriotik mereka akan menyayangi tanah negara sendiri dengan tidak membuang sampah merata-rata dengan mengotori negara sendiri. Perbuatan ini meggambarkan sesiapa sahaja yang membuang sampah merata-rata sebagai tidak Patriotik.

Rata-rata rakyat Malaysia yang saya temui di Dubai berfikiran jauh ke hadapan apabila bercakap masa hadapan Malaysia. Salah seorang bekas tentera yang bekerja di dalam industri penerbangan di Dubai, meluahkan kasihsayangnya kepada negara walaupun berjauhan. Dia menolak terrorist dan pelampau. Seorang bekas wartawan nasional pula berhujah tentang perlunya ajaran agama Islam yang sebenar, dia dengan tegas menolak perbuatan kafir-mengkafir dan label-melabel yang akhirnya melahirkan umat Islam yang saling benci-membenci. Maka amat jelas di sini, bahawa rakyat Malaysia di luar negara menolak unsur-unsur pelampau, mereka mahukan kesederhanaan.

Keesokan harinya, sambil menikmati keindahan dan kekayaan bandaraya Dubai menuju ke bangunan Kedutaan Malaysia di UAE untuk satu lagi ceramah Kenegaraan, saya berkata di dalam hati saya, kemajuan Dubai dan UAE kerana kekayaan minyaknya, tetapi kemajuan di Malaysia adalah kerana semangat Patriotisme dan perpaduan rakyat pelbagai kaum. Apa pula hubungan Patriotisme kepada kemajuan di Malaysia? Memang benar memiliki Patriotisme tidak akan menjadikan seseorang itu kaya raya, tetapi dengan Patriotisme jualah rakyat dari segenap pelosok dan peringkat dapat hidup dengan aman dan harmoni. Bolehkah kekayaan diperolehi jika negara kucar dan kacir? Saya juga ditanya apakah rahsia Malaysia boleh kekal harmoni dalam kepelbagaian kaum? Jawapannya Patriotisme, yakni saling sayang-menyayangi dan cinta-mencintai malah tidaklah salah untuk mempromosikan perkahwinan campur asalkan tidak melanggar peraturan dan tatasusila hidup bermasyarakat. Saya yakin kahwin campur antara pelbagai kaum boleh menambah lagi elemen jati diri dan perpaduan dalam masyarakat kita. Lihatlah perkahwinan campur etnik Cina di Peru dan Indonesia, patriotisme etnik Cina di kedua-dua negara itu sangat mantap.

DR AL-AZHARRI SIDDIQ KAMUNRI adalah penulis artikel ini. Beliau merupakan pengkaji dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan dengan minat terhadap usaha pembinaan negara, keselamatan dan patriotisme.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *