Input your search keywords and press Enter.

MFL saman TM RM400 juta

M Update, 22/3/2019 – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memfailkan saman terhadap Telekom Malaysia (TM) berhubung perlanggaran kontrak penajaan oleh syarikat telekomunikasi itu selepas gagal membuat pembayaran hak penajaan dan penyiaran untuk musim 2019.

Tindakan itu dibuat susulan kenyataan rasmi yang dibuat TM yang mengumumkan mereka bukan lagi penaja Liga Malaysia (Liga M), bermula 2019 serta menafikan kegagalan melaksanakan apa yang terkandung dalam kontrak, sebaliknya menyatakan kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan bersama berkenaan asas komersial. Tempoh kontrak penajaan yang telah ditandatangani oleh kami dan TM adalah untuk tempoh lapan tahun bermula dari Januari 2018 sehingga 2025.

Terma dan syarat ini telah dipersetujui dan dimeterai bersama pada Januari 2018 dan satu kenyataan bersama MFL yang ketika itu dikenali sebagai FMLLP dan TM bertarikh 1 Februari 2018 bertajuk ‘unifi menyatukan rakyat Malaysia melalui bolasepak’ dikeluarkan sebagai tanda kolaborasi bagi menaja Liga Malaysia. Malangnya selepas itu, TM telah mencadangkan terma baharu termasuk perubahan kepada terma asas yang telah dipersetujui dan ditandatangani bersama,” menurut kenyataan yang dikeluarkan MFL hari ini.

Menurut kenyataan itu, antara terma yang mahu dimasukkan TM adalah perubahan yang jelas bercanggah dengan persetujuan bersama sebelum ini dan akan menjadikan perjanjian antara MFL dan TM tidak stabil serta tidak adil. Justeru, ia tidak mungkin boleh dipersetujui oleh kami kerana ia dilihat sebagai cara TM untuk membebaskan diri daripada obligasinya di bawah syarat yang telah dipersetujui dan ditandatangani.

Proses ini telah mengambil masa yang panjang dan pihak MFL telah cuba sedaya upaya untuk membantu mencari jalan tengah dalam perkara ini termasuk bersedia meminda sedikit syarat yang telah dipersetujui dan ditandatangani bagi membantu pihak TM.

TM kemudiannya enggan menjalankan sebarang perundingan untuk mencari penyelesaian dan juga tidak mahu meluangkan masa mengadakan perbincangan lanjut bagi menyelesaikan isu ini apabila dijemput pihak MFL walaupun ada representasi sebaliknya daripada pengurusan TM ketika itu telah dipersembahkan kepada kepimpinan MFL. Justeru, MFL menegaskan mereka terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap TM bagi melindungi hak pasukan bertanding dalam Liga Malaysia serta memelihara kepentingan bola sepak negara.

Jumlah yang dituntut oleh kami terhadap TM di bawah kontrak penajaan bersama adalah melebihi RM400 juta dan saman tersebut juga telah disampaikan kepada peguamcara TM pada hari ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Sumber : BH Online

Leave a Reply