Input your search keywords and press Enter.

Padah Salah Guna Lesen Untuk Aktiviti Pelacuran

M Update, 5/4/2019 – Bahana terlibat dengan kegiatan pelacuran, 13 orang wanita mengundang padah apabila ditahan dalam serbuan di dua premis berasingan di Desa Petaling, Kuala Lumpur, menerusi Operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) Siri 12, tengah malam tadi.

Serbuan pertama dilakukan di pusat rawatan kesihatan di Jalan Ranum Tengah, Sri Petaling, di sini, kira-kira 11 malam tadi.

Pemeriksaan mendapati terdapat kegiatan pelacuran di premis terbabit yang dipromosikan menerusi media sosial. Di premis ini, empat wanita warga Thailand berusia 20-an hingga 30-an telah ditahan dipercayai pelacur selain enam pelanggan berusia 30-an.

Pemeriksaan mendapati pusat itu mempunyai lesen, namun menyalahgunakannya dengan menjalankan kegiatan pelacuran.

Serbuan kedua dilakukan di premis di Jalan Raden Bagus, Sri Petaling, di sini, membawa penahanan kepada sembilan wanita warga asing berusia lingkungan 20-an hingga 30-an yang disyaki menawarkan khidmat seks.

Premis yang tidak memiliki lesen itu didapati menjalankan kegiatan pelacuran yang menawarkan khidmat seks pelacur warga Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Modus operandi sindiket ini adalah memilih wanita dikehendaki pelanggan yang diletakkan di dalam bilik mengikut negara. Pelanggan dikenakan bayaran pada kadar RM160 hingga RM200 dan diberi pilihan sama ada melakukan hubungan seks di lebih 20 bilik kecil disediakan atau membawa mereka keluar ke hotel berhampiran.

Malah, premis itu turut mendirikan struktur tanpa kebenaran yang digunakan sebagai bilik melayan pelanggan.

Ketika serbuan dilakukan di lokasi terbabit, anggota penguat kuasa turut menemui ‘asrama’ dihuni 20 lelaki warga Bangladesh yang terletak di tingkat tiga rumah kedai berkenaan.

Pemeriksaan mendapati kesemua lelaki warga Bangladesh berusia 30-an hingga 40-an itu tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.

Mereka yang bekerja sebagai buruh binaan di tapak pembinaan berhampiran menyewa bilik di tingkat tiga rumah kedai berkenaan dengan anggaran harga RM100 seorang setiap bulan. Di tingkat tiga berkenaan, terdapat lebih 10 bilik disewa empat hingga lima individu dalam satu bilik.

Kesemua 33 warga asing yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.

Kedua-dua permis berkenaan turut ditutup, manakala struktur yang dibina tanpa kebenaran di premis kedua turut dirobohkan.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *