Input your search keywords and press Enter.

Statut Rom : Sultan Johor Ucap Terima Kasih

M Update, 8/4/2019 – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Dalam entri terbaru di laman rasmi Facebook baginda, Sultan Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menghormati dan menerima pandangan Majlis Raja-Raja.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana mendengar suara rakyat untuk membatalkan perjanjian Statut Rom yang sudah ditandatangani pada Mac lalu. “Saya juga mengucapkan terima kasih kerana menghormati dan menerima pandangan Majlis Raja-Raja. Saya berharap kerajaan akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik.

Baginda juga berkata akan memastikan kedaulatan negara dan keharmonian hidup rakyat akan sentiasa dipelihara. Raja dan rakyat berpisah tiada,” titah baginda.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Kabinet memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom ICC kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi Raja menentang kerajaan. Dr Mahathir berkata ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima statut itu sebagai isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan, khususnya beliau selaku Perdana Menteri.

Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun depan selepas ia ditandatangani pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama. – BH Online

Leave a Reply