Input your search keywords and press Enter.

Adib Mungkin Diserang Perusuh- Saksi Pakar

M Update, 19/4/2019 – Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim berkemungkinan besar diserang oleh perusuh yang datang dari arah belakang atau berhampiran van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) pada awal pagi, 27 November tahun lalu.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (dahulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia), Prof Dr Shahrom Abd Wahid, berkata berdasarkan eksibit I38 iaitu video dua kenderaan bomba berundur, sekumpulan perusuh datang dari arah depan jentera Fire Rescue Tender (FRTY yang berada di hadapan van EMRS. Bagaimanapun, Dr Shahrom yang juga saksi ke-29, berkata ada orang lain yang berpotensi menjadi musuh di bahagian belakang FRT dan berhampiran van EMRS.

Katanya, jika Muhammad Adib melihat perusuh datang dari arah depan ke pintu van EMRS untuk menyerang, mangsa mempunyai prejudis yang dia akan diserang. Secara rasional, bila ada prejudis itu, dia akan tutup pintu. Bagaimanapun, selepas melihat video (I38), saya tidak nampak perusuh datang dari arah FRT yang sampai ke pintu EMRS, di mana mangsa berada. Kemungkinan besar, terdapat orang lain dari belakang datang ke arah Adib. Tiba-tiba dia diserang,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Rofiah Mohamad pada hari ke-29 prosiding inkues kematian Muhammad Adib berjalan.

Ditanya peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Syazlin Mansor, berkenaan dapatan berkenaan, Dr Shahrom berkata, andaian itu dibuat berdasarkan bukti fizikal dan tidak bergantung kepada kenyataan saksi yang sudah memberi kenyataan sebelum ini. Dalam penerangannya, Dr Shahrom berkata, antara bukti adalah cermin belakang dan sisi van EMRS yang pecah tetapi berdasarkan eksibit I38, video berkenaan tidak menunjukkan mana-mana individu memecahkan dua cermin terbabit.

Berikutan itu, saksi mendakwa, beliau membuat eksperimen kawalan (control experiment) bagi mengetahui tempoh masa untuk memecahkan cermin belakang dan sisi van EMRS itu. Buat (eksperimen kawalan) balingan helmet yang mana andaian tiada orang di sekitar van EMRS dan ini merujuk kepada penemuan helmet di dalam kenderaan itu. Jadi, nak tahu bagaimana helmet boleh berada dalam van, sama ada helmet dibaling dari jauh atau perlu ada hentakan dalam jarak lengan bagi membuktikan ada orang di sekeliling van,” katanya.

Menguraikan dapatan pandangannya itu, Dr Shahrom menjelaskan, beliau membuat eksperimen seseorang membuat balingan helmet dari arah jauh ke arah cermin belakang namun keputusan menunjukkan helmet tidak dapat memasuki van. Katanya, eksperimen balingan helmet di cermin sisi pula menunjukkan helmet digunakan itu melambung semula selepas terkena cermin dan kedua-dua eksperimen itu dirumuskan sebagai hampir mustahil untuk membolehkan helmet terbabit masuk ke dalam van.

Saksi sama berkata, eksperimen kawalan seterusnya dijalankan bagi menunjukkan terdapat individu lain di sekitar van EMRS yang menghentak helmet ke bahagian cermin terbabit hingga membolehkan helmet masuk ke dalam van. Katanya, hasil eksperimen itu menunjukkan dengan tiga kali ketukan helmet ke cermin belakang dengan jarak lengan (antara van dan individu), ia boleh memecahkan cermin itu.

Untuk cermin sisi, dengan jarak sama, cermin terbabit pecah selepas lapan ketukan helmet di bahagian cermin itu. Jadi, baling helmet pada jarak jauh tidak boleh masukkan helmet ke dalam van. Hentak helmet ke cermin pada jarak lengan baru boleh pecahkan cermin belakang dan sisi. Dalam video ini, faktanya cermin belakang dan sisi pecah. Kesimpulannya, sekurang-kurangnya dua orang atau lebih berada di sekitar van EMRS,” katanya. -HM Online

Leave a Reply