Input your search keywords and press Enter.

Budak 10 Tahun Ditikam Lelaki Mabuk

M Update, 21/5/2019 – Kanak-kanak 10 tahun cedera ditikam di dada dan perut oleh seorang lelaki mabuk yang memasuki rumahnya di Bandar Sungai Long, dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata ketika kejadian mangsa sedang tidur di biliknya sebelum didatangi suspek yang dipercayai masuk ke rumah yang terletak di tingkat tiga itu selepas mendapati pintu utama tidak berkunci.

Katanya, kejadian hanya disedari bapa mangsa yang tidur di satu bilik lain selepas terdengar jeritan anaknya. Polis menerima laporan kejadian pada jam 5 pagi. Hasil siasatan mendapati mangsa ditikam di dada kanan dan kiri perut dan dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan.

Menurut saksi, suspek dilihat dalam keadaan mabuk sebelum kejadian itu malah, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan suspek berkeliaran dan dipercayai sedang mabuk di kawasan kaki lima kedai berhampiran tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, suspek melarikan diri selepas menikam mangsa tetapi meninggalkan motosikalnya di hadapan sebuah kedai berhampiran lokasi.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan polis di lokasi kejadian menemui pisau yang digunakan suspek serta botol arak dipercayai milik lelaki itu. Susulan itu, satu operasi dilancarkan untuk mengesan suspek dan hasil risikan berjaya menahan lelaki berusia 40 tahun di kawasan Batu 9, Cheras, pada jam 3.30 pagi, kelmarin. Katanya, suspek kini direman enam hari hingga 24 Mei ini untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – BH Online

Leave a Reply