Input your search keywords and press Enter.

Penampilan Khas Tun M, Isteri di My Voice My Nation Malaysia 2019

M Update, 24/5/2019 – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali adalah antara tokoh yang akan membuat penampilan khas sebagai speaker kehormat pada program My Voice My Nation Malaysia 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil, 26 Jun ini.

Program forum pengucapan awam bermotivasi dan konsert amal itu dianjurkan Sannie Movement (M) Sdn Bhd dan Relement Group Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata Perdana Menteri akan berkongsi pengalaman hidup beliau sebelum menyertai politik termasuk ketika masih dalam pengajian di universiti, menjadi doktor dan memimpin negara. Beliau yang turut bakal membuat penampilan sebagai speaker kehormat berkata, program berkenaan juga seiring dengan aspirasi KBS menjadikan Malaysia sebagai ‘debating nation’.

“Sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia didedahkan dengan program sebegini dan diharapkan My Voice My Nation Malaysia 2019 akan melakar sejarah tersendiri, sekali gus memperkasa pemikiran belia serta menyemarakkan semangat patriotik rakyat,” katanya ketika melancarkan program berkenaan, hari ini.

My Voice My Nation Malaysia 2019 turut menampilkan personaliti terkemuka dalam pengucapan awam dari dalam dan luar negara membabitkan ahli politik, usahawan dan penghibur yang akan berkongsi kisah kejayaan serta pengalaman hidup mereka sebagai sumber inspirasi. Program induknya, ‘Jiangsu TV Satelit – My Voice My World’ disiarkan kali pertama pada tahun 2016 di Jiangsu Television.

Turut mengambil bahagian sebagai speaker kehormat ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, selain persembahan hiburan artis Hong Kong, Michael Wong Man Tak. Sempena program itu nanti, Yayasan Atlet Paralimpik Malaysia akan dilancarkan dan sumbangan kepada yayasan berkenaan akan diberikan pada malam sama. – BH Online

Leave a Reply