Input your search keywords and press Enter.

Bas Sekolah Jatuh Gaung, 10 Pelajar Orang Asli Cedera

M Update, 21/6/2019 – Seramai 10 pelajar Orang Asli berdepan detik cemas apabila bas sekolah yang dinaiki terbabas ke dalam gaung di jalan utama Kampung Penderas, Kuala Krau di Temerloh dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood, berkata kejadian jam 4 petang semalam membabitkan pelajar sesi pagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau dari Kampung Pian, Kuala Krau. Bas itu dipercayai mengalami masalah teknikal ketika mengambil selekoh di kawasan berbukit menyebabkan bas mengundur sebelum terbabas ke dalam gaung,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zundin berkata kejadian itu menyebabkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh kerana parah di kepala dan kaki. Dua pelajar masing-masing patah tangan dan sesak nafas manakala lima pelajar cedera ringan dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Krau.

Polis sedang mengesan pemandu bas kerana tidak berada di tempat kejadian manakala pemilik bas sudah diketahui berasal dari Triang, Bera katanya. – Bernama

Leave a Reply