Input your search keywords and press Enter.

Tiada bayi perempuan, majistret arah siasat kes gugur janin

M Update, 24/07/2019 –  Ketiadaan seorang pun bayi perempuan yang dilahirkan dalam masa tiga bulan mendorong seorang majistret melancarkan siasatan mengenai kemungkinan pengguguran janin perempuan.

Data kerajaan di daerah di utara India menunjukkan semua 216 bayi yang dilahirkan di 132 kampung sejak tiga bulan lalu adalah lelaki.

Pihak berkuasa di Uttarkashi di negeri Uttarakhand, berkata kadar kelahiran rasmi membimbangkan dan menunjukkan kes pengguguran janin perempuan meluas.

India mengharamkan pengguguran janin perempuan pada 1994 tetapi ia masih diamalkan di banyak tempat di negara itu, kerana ibu bapa melihat anak lelaki sebagai pencari nafkah dan anak perempuan sebagai beban.

Bancian kependudukan terakhir pada 2011, mendapati cuma 943 perempuan untuk 1,000 lelaki di India.

Majistret daerah Uttarkashi, Ashish Chauhan, berkata kadar kelahiran bayi perempuan di kawasan itu, yang dikumpulkan jabatan kesihatan tempatan, mencurigakan dan menonjolkan kes pengguguran janin perempuan.

Sebanyak 132 kampung yang tidak menyaksikan kelahiran bayi perempuan dalam masa tiga bulan ditandakan sebagai sebahagian zon merah, bermakna data tempatan akan diteliti lebih rapi dan pekerja kesihatan diminta lebih berwaspada.

Ibu bapa yang didapati melakukan pengguguran bayi perempuan akan berhadapan tindakan undang-undang, kata Chauhan.

Anggota dewan perundangan, Gopal Rawat, berkata: “Amat mengejutkan kerana kadar kelahiran bayi perempuan sifar di 132 kampung, kerana kita jarang mendengar atau melihat kejadian pengguguran janin perempuan di kawasan bukit.

“Saya sudah mengarahkan jabatan kesihatan mencari punca sebenar perangkaan membimbangkan ini dan mengambil tindakan serius untuk menyelesaikannya.” — Agensi

Leave a Reply