Input your search keywords and press Enter.

Jangan Pandang Remeh Pengorbanan Petugas Keamanan, Kemakmuran – Agong

M Update, 278/2019 – Rakyat Malaysia perlu mempamerkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Raja dan negara, termasuk tidak memandang remeh pengorbanan mereka yang menjaga keamanan serta kemakmuran.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah Malaysia sudah meniti pelbagai peristiwa untuk menjadi negara yang berdaulat dan merdeka.

“Justeru, rakyat Malaysia tidak kira di mana saja pelosok dunia, wajar mempamerkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Raja dan negara,” titah baginda pada Majlis Jamuan Teh bersama rakyat Malaysia sempena Lawatan Negara ke Indonesia bermula semalam.

Al-Sultan Abdullah bertitah, keamanan adalah nikmat terbesar yang harus disyukuri rakyat, dan pemimpin negara yang bersilih ganti sudah berusaha memakmurkan negara hingga hari ini. Titah baginda, Lawatan Negara ke Indonesia bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, selepas ditabalkan pada 30 Julai lalu, adalah bagi meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama erat kedua-dua negara.

“Kunjungan saya dan Raja Permaisuri Agong juga adalah untuk melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Republik Indonesia yang sudah memberi peluang kepada rakyat dan syarikat Malaysia untuk menjalankan urusan perniagaan serta beroperasi di negara ini,” titah baginda.

Hampir 12,000 rakyat Malaysia bermastautin di Indonesia yang terdiri daripada tenaga profesional, pengusaha syarikat, sektor swasta dan pelajar, menyumbang secara tidak langsung dalam peningkatan ekonomi serta hubungan dua hala kedua-dua negara.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, kewujudan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia boleh membentuk jaringan penghubung dan komunikasi efektif kepada kira-kira 3,500 pelajar di negara ini, selain Malaysia Chambers Jakarta yang boleh memainkan peranan membentuk jaringan komunikasi dengan rakyat Malaysia di sini.

“Saya berpandangan jika jaringan komunikasi ini dapat dikukuhkan, ia boleh dimanfaatkan Kedutaan dan Kerajaan Malaysia dalam menyampaikan aspirasi kerajaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bermastautin di negara ini,” titah baginda.

Seri Paduka turut bertitah agar pelajar dan rakyat Malaysia yang bermastautin di negara ini menjaga nama baik serta imej negara, bersopan santun, mengamalkan etika kerja yang mulia serta menghormati undang-undang dan budaya tempatan.

Titah Seri Paduka, hubungan Malaysia dengan Indonesia sangat akrab dan istimewa dengan diasaskan melalui ikatan erat dalam pelbagai aspek, termasuk sejarah, agama, budaya, bangsa serta bahasa.

“Saya amat berbangga melihat persahabatan yang kini pada tahap sangat baik dalam pelbagai bidang dan peringkat, sama ada pada peringkat pemimpin negara mahupun badan bukan kerajaan, serta dalam segenap lapisan masyarakat,” titah baginda.

Seri Paduka berdua yang tiba di Jakarta, pagi semalam, dijadual berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) bersama isterinya, Iriana Jokowi, di Istana Bogor, hari ini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah seterusnya dijadualkan berangkat ke Yogyakarta dan mengadakan pertemuan dengan Sultan Yogyakarta serta Gubernur Daerah Istimewa Yogyakarta, Sri Sultan Hamengkubuwono X, serta melawat beberapa tempat bersejarah di sana. – BERNAMA

Leave a Reply