Input your search keywords and press Enter.

Ujian 5G Diperluas Ke Seluruh Negara Oktober Ini

M Update, 24/9/2019 – Ujian rangkaian perkhidmatan 5G akan diperluaskan ke seluruh negara bermula bulan depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Ujian berkenaan yang dilancarkan pada April lalu di Putrajaya dan Cyberjaya, diharapkan mampu mengurangkan jurang digital sekaligus menaik taraf kehidupan rakyat negara ini. Diharapkan komitmen awal Malaysia terhadap 5G ini menerusi ujian rangkaian perkhidmatan ke seluruh negara akan meletakkan negara sebagai antara pemimpin 5G di dunia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan GSMA Mobile 360 Digital Socities, di sini, hari ini.

Gobind berkata, kementeriannya juga sedang mempertingkatkan tahap kesediaan dan akses kepada infrastruktur digital yang menjadi asas kepada Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP). NFCP dilancarkan baru-baru ini membabitkan kos RM21.6 bagi tempoh lima tahun akan datang, dijangka mampu mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan kepada penduduk termasuk di luar bandar. Peluang pekerjaan ini merangkumi aktiviti pembinaan, operasi dan penyelenggaraan infrastruktur digital,” katanya.

Gobind berkata, bagi meningkatkan keyakinan rakyat dalam aktiviti ekonomi digital dan memantapkan keselamatan pengguna internet, Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan kajian mengenai ID Digital Nasional.

Kajian ini akan mengenal pasti rangka kerja yang sesuai dalam melaksanakan ID Digital Nasional. Kerajaan berharap pelaksanaan inisiatif baharu ini mampu melindungi data peribadi pengguna yang menggunakan perkhidmatan dalam talian,” katanya.

Langkah itu penting dalam meningkatkan kepercayaan rakyat ketika melakukan transaksi menerusi perkhidmatan dalam talian selain memastikan kaedah pengesahan yang terkini, selamat dan melindungi privasi. -BH Online

Leave a Reply