Input your search keywords and press Enter.

Serangan Taufan Ganas Ragut Nyawa Hampir 70 Orang

Penduduk terkejut melihat kawasan kediamannya selepas serangan Taufan Hagibis di Nagano, Jepun, semalam. -Foto EPA

M Update, 15/10/2019 – Hujan lebat mengancam menghalang usaha puluhan ribu penyelamat Jepun untuk mencari mangsa yang masih hidup selepas serangan taufan ganas malam Sabtu lalu kini mengorbankan hampir 70 orang.

Penyiar awam, NHK berkata, angka maut akibat serangan Hagibis yang membadai sebahagian besar kawasan di tengah dan timur Jepun meningkat kepada 67 orang dengan 15 masih hilang dan 211 lagi cedera, tiga hari selepas taufan yang bermaksud ‘kepantasan’ dalam bahasa Tagalog Filipina menyerang negara itu, membawa angin kencang dan hujan lebat.

Penyelamat terpaksa mengharung banjir lumpur dan sampah sarap bagi meningkatkan pencarian mangsa yang masih hilang ketika 138,000 isi rumah tanpa bekalan air manakala 76,000 lagi bergelap, mencetuskan kebimbangan di kawasan utara ketika cuaca bertambah sejuk.

“Sehingga kini, ramai penduduk hilang tidak dikira di kawasan terjejas bencana. Unit penyelamat berusaha untuk mencari mangsa dan menyelamatkan mereka, bekerja siang dan malam,” kata Perdana Menteri Shinzo Abe dalam mesyuarat bencana semalam.

Tidak lama selepas itu, beliau berikrar melakukan apa sahaja untuk mangsa dan penduduk, mengarahkan Kementerian Pertahanan memanggil 1,000 tentera simpanan untuk menyertai 31,000 pasukan aktif dalam operasi menyelamat.

Namun tugas menyelamat yang berterusan malam semalam berisiko dihalang akibat hujan di tengah dan timur Jepun.

Puluhan ribu anggota polis, bomba dan tentera terus melakukan pencarian mangsa yang terputus hubungan akibat banjir dan tanah runtuh, dengan harapan semakin tipis menjumpai mangsa hilang ditemui hidup-hidup.

“Saya meminta mereka berhati-hati dan terus mengawasi tanah runtuh dan air sungai melimpah,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga dalam sidang media.

Angin kencang akibat Hagibis mencecah 216 kilometer sejam, namun hujan lebat menjadi punca kemusnahan besar. Media tempatan berkata, sejumlah 176 sungai melimpah terutama di timur dan utara Jepun. -AFP/Reuters

Kenderaan terbenam dalam lumpur susulan serangan Taufan Hagibis di Marumori, daerah Miyagi, semalam. -Foto AFP

Leave a Reply