Input your search keywords and press Enter.

Bapa Sujud Syukur Kematian Anak Terbela

M Update, 24/10/2019 – Tangisan dan suasana penuh emosi dirasai ahli keluarga mangsa bunuh selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini , menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas tiga tertuduh yang didapati bersalah melakukan jenayah berkenaan.

Ahli keluarga termasuk ibu bapa dan adik beradik mangsa, Muhammad Fairul Haqimmie Mokhtar, 24, hadir bagi mengikuti keputusan akhir kes pembelaan dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Halim Aman. Ibu mangsa, Norfauziah Jamalham, 68, berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana keputusan mahkamah memihak kepada arwah anaknya selepas ketiga-tiga tertuduh dijatuhkan hukuman mati.

“Saya terlalu gembira sebab kematian anak saya terbela selepas selama tiga tahun kami menunggu keputusan ini dan ketiga-tiga pesalah dijatuhkan hukuman, hari ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Sementara itu, bapa Muhammad Fairul Haqimmie, Mohktar Tan, 62, berkata, mereka sekeluarga tidak pernah tertinggal untuk menghadiri proses perbicaraan bagi kes itu sejak tiga tahun lalu.

“Walau susah macam mana sekali pun, kami tetap hadir mengikuti kes ini, selama tempoh itu tidak pernah tinggal dan kira berbaloi penantian kami sekeluarga pada hari ini,” katanya.

Terdahulu, ketika Abdul Halim membacakan keputusannya, Norfauziah terpaksa dipapah suaminya ke luar mahkamah kerana menghidap masalah jantung. Mokhtar juga dilihat melakukan sujud syukur dan adik beradik Muhammad Fairul Haqimmie menitiskan air mata serta berpelukan sebaik saja Abdul Halim selesai membacakan penghakimannya.

Tiga tertuduh iaitu, Siti Nor Asiah Abdul Wahab, 28; Mohd Zulhiami Md Darus, 33, dan Muhammad Rahmat Nazarudin, 25, dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Muhammad Fairul Haqimmie pada 29 Ogos 2016. Berdasarkan penghakiman Abdul Halim, seorang saksi memberitahu mahkamah bahawa mangsa dipukul sebelum mayatnya diikat dengan tilam dan dihumban ke dalam sungai di Seksyen 24.

Meskipun sudah tiga tahun berlalu, mayat mangsa masih tidak ditemui sehingga kini.

Leave a Reply