Input your search keywords and press Enter.

Dr M : Malaysia Setuju Teruskan Projek RTS

M Update, 1/11/2019 – Malaysia akan meneruskan pelaksanaan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura dengan penjimatan sebanyak RM1.77 billion, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata, kos baharu projek itu adalah RM3.16 bilion berbanding kos asal RM4.93 bilion yang ditetapkan kerajaan terdahulu.

“Kita akan teruskan projek itu walaupun ia hanya selesaikan sedikit isu kesesakan lalu lintas. Butiran projek akan dibincangkan bersama kerajaan Singapura tidak lama lagi,” katanya pada sidang media Pengumuman Projek RTS di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar semalam.

Ditanya pemberita sama ada pemilik tanah di Bukit Chagar yang akan menjadi lokasi Stesen RTS di Johor Bahru adalah milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, Dr Mahathir mengesahkannya dan menegaskan tanah itu sebelum ini milik Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, penjimatan sebanyak 36 peratus daripada kos asal projek itu sebahagiannya disebabkan Sultan Johor mengecualikan kos pengambilan tanah baginda. Digabungkan dengan kos pembinaan dan cadangan sistem rel yang lebih murah menggunakan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) berbanding cadangan asal iaitu Transit Aliran Massa (MRT), kerajaan berjaya mencapai penjimatan yang ketara,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan mendapat kelulusan Kabinet pada 18 Oktober lalu untuk meneruskan projek berkenaan dengan perubahan kepada struktur, skop dan spesifikasi projek. Katanya, pegawai daripada kedua-dua negara sedang memperhalusi cadangan yang dikemukakan Malaysia untuk meminda struktur serta spesifikasi projek berkenaan dan Perjanjian Dua Hala yang baharu dijangka akan dimeterai awal tahun depan.

Beliau berkata, Prasarana Malaysia Berhad (PMB) terus kekal sebagai wakil Malaysia dalam syarikat usaha sama pengendali kereta api (JV OpCo) dan syarikat itu juga diberi mandat untuk berbincang dengan syarikat pengendali kereta api Singapura SMRT untuk memuktamadkan Perjanjian Usaha Sama.

Katanya, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) atau anak syarikatnya dilantik sebagai syarikat pemilik infrastruktur kereta api yang antara lain bertanggungjawab dalam pelaksanaan projek termasuk mereka bentuk landasan, stesen serta bangunan CIQ.

Projek RTS bakal menghubungkan Bukit Chagar, Johor ke stesen Woodlands North, Singapura dengan sasaran kapasiti mencecah 10,000 penumpang sejam, namun jika projek itu dibatalkan, Malaysia perlu membayar pampasan berjumlah RM200 juta kepada Singapura.

Leave a Reply