Input your search keywords and press Enter.

Penunjuk Perasaan Semakin Mengganas!

M Update, 12/11/2019 – Seorang penunjuk perasaan parah ditembak pada jarak dekat oleh polis dalam kejadian yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live, pada hari dianggap paling ganas sepanjang bantahan tercetus di Hong Kong, lima bulan lalu.

Seorang lelaki turut dicurah cecair mudah bakar dan dibakar hidup-hidup susulan satu pertengkaran, dengan kejadian itu tular selepas dirakam menggunakan telefon bimbit.

Polis mendakwa penunjuk perasaan yang melakukan serangan itu.

Penunjuk perasaan yang sejak awal pagi merancang melumpuhkan hab kewangan antarabangsa itu terus mengganas sebaik berita tembakan itu tersebar dengan menyerbu stesen kereta api, kedai dan menyekat lalu lintas.

Dalam kejadian pertama yang disiarkan secara langsung di Facebook, seorang anggota polis dilihat mengeluarkan pistolnya ketika cuba menahan seorang lelaki bertopeng di satu persimpangan jalan yang disekat penunjuk perasaan.

Seorang lagi individu bertopeng dilihat menghampiri polis berkenaan sebelum ditembak dan terus rebah.

Penunjuk perasaan bertopeng membaling batu ke arah polis. FOTO Reuters

Dua lagi tembakan didengar dan anggota berkenaan bergelut dengan seorang lagi penunjuk perasaan yang kemudian ditahan bersama lelaki yang ditembak itu.

Mangsa yang ditembak masih dalam keadaan sedar malah cuba melarikan diri walaupun dalam keadaan berdarah, manakala lelaki kedua menjerit namanya kepada pemberita ketika digari.

Polis mengesahkan seorang individu cedera ditembak manakala pihak berkuasa hospital berkata, seorang lelaki berusia 21 tahun dirawat kerana kecederaan itu.

Video yang tular menunjukkan detik seorang lelaki disimbah cecair sebelum dibakar. FOTO Agensi

Ia kali ketiga polis menembak penunjuk perasaan dengan peluru hidup.

Sementara itu, lelaki yang dibakar turut dirawat di hospital dan keadaannya dilaporkan kritikal, kata jurucakap polis John Tse.

Polis menuduh perusuh melakukan pelbagai serangan ganas lain termasuk membaling bom petrol ke dalam gerabak kereta api.

Keganasan berterusan di Hong Kong sejak lima bulan lalu dan ketegangan meningkat selepas seorang pelajar universiti maut selepas koma hampir seminggu akibat jatuh ketika pertembungan dengan polis.

Leave a Reply