Input your search keywords and press Enter.

KDN : Pertimbang Ganjaran Lapor Kes Dadah

M Update, 12/11/2019 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertimbangkan cadangan supaya ganjaran diberikan kepada anggota yang melaporkan aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menterinya Datuk Mohd Azis Jamman berkata, PDRM memandang serius isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota polis.

“Kita mengalu-alukan jika ada anggota tampil dan beri maklumat kesalahan membabitkan dadah dilakukan rakan mereka.

“Sudah tentu, ia (ganjaran) perkara yang mungkin kita akan pertimbangkan. Kita akan bawa cadangan ini ke peringkat kementerian,” katanya ketika menjawab pertanyaan dikemukakan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai cadangan ganjaran kepada anggota PDRM yang melaporkan salah guna dadah dalam kalangan anggota polis.

Mengenai pertanyaan dikemukakan oleh Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan KDN untuk banteras dadah dalam kalangan rakyat dan anggota polis di negara ini, Mohd Azis berkata, beliau merakamkan tahniah kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador di atas ketegasan diambil terhadap anggota polis yang terbabit penyalahgunaan dadah.

“Saya cukup yakin dengan langkah berani ditunjukkan Abdul Hamid dalam menangani isu berkenaan. Ia satu langkah yang berani. Malah, beliau (Abdul Hamid) sendiri akui ada anggotanya yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Saya yakin dengan usaha beliau dalam isu ini sekali gus dapat mengurangkannya seminima mungkin, “katanya.

Mohd Azis berkata, sejak 23 Mei lalu, 252 anggota dan pegawai PDRM ditahan selepas didapati positif dadah. Menurutnya, pegawai atau anggota yang didapati terbabit dalam penyalahgunaan dadah atau disabitkan kesalahan berdepan tindakan tatatertib mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 (Kelakuan dan Tatatertib) yang boleh dikenakan hukuman amaran sehingga buang kerja.

Jika disabitkan kesalahan di mahkamah, pegawai atau anggota boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 33, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 (Kelakuan dan Tatatertib) yang mana boleh dikenakan hukuman sehingga buang kerja. Selain itu, tindakan tatatertib mengikut Peraturan 37 pula menetapkan hukuman sehingga turun pangkat dan buang kerja,” katanya. – HM Online

Leave a Reply