Input your search keywords and press Enter.

JKM Santuni Keluarga Tidur Dalam Kereta

M Update, 19/12/2019 – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan menyantuni lima sekeluarga yang dikatakan tidur dalam kereta di kawasan parkir Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di Seremban, hari ini.

JKM sebelum itu menerima aduan awam mengenai kesempitan hidup suami isteri bersama tiga anak yang tiada tempat tinggal sehingga memaksa mereka tidur di dalam kereta sehingga tular di Facebook (FB). Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, pihaknya ke lokasi menjalankan siasatan berdasarkan aduan berkenaan, jam 9 pagi.

“Berdasarkan siasatan, keluarga itu sebelum ini menyewa rumah di Kampung Baru Batu 3, Mambau dengan kadar sewa RM400 sebulan.

Namun, mereka gagal membayar sewa selama tiga bulan selepas suami diberhentikan kerja di sebuah kilang di Senawang. Berikutan itu mereka terpaksa berpindah keluar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nicole berkata, hasil perbincangan, keluarga itu diberi bantuan segera RM300 oleh Baitulmal manakala JKM sudah menyerahkan borang permohonan bantuan bulanan untuk tindakan selanjutnya.

Malah, katanya, keluarga itu turut menerima sebuah rumah daripada Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang dengan bayaran deposit dan sewa bulan pertama diuruskan oleh Baitulmal. – HM Online

Leave a Reply