Input your search keywords and press Enter.

Rawatan Kanser : Masih Ramai Jumpa Bomoh Daripada Doktor

M Update, 23/12/2019 – Kebanyakan pesakit kanser payudara di negeri ini masih mendapatkan rawatan tradisional, terutama bomoh tempatan dan Thailand berbanding ke hospital.

Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, majoriti pesakit kanser payudara lambat datang untuk mendapatkan rawatan di hospital kerana takut perlu menjalani pembedahan dan kehilangan payudara.

Katanya, di HRPZ II, dalam setahun lebih 100 pesakit didiagnosis menghidap kanser payudara dan angka ini tidak, termasuk yang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan hospital swasta lain di negeri ini.

“Mereka lebih taksub dan percaya kepada rawatan tradisional tambahan pula Kelantan terletak bersempadan dengan Thailand yang mempunyai ramai dukun dan bomoh yang kononnya boleh menyembuhkan penyakit.

“Situasi ini menyebabkan mereka lambat mendapat rawatan di hospital dan hanya selepas keadaan sudah teruk baharu mereka rujuk kepada hospital,” katanya.

Imi Sairi berkata, mengikut statistik di Kelantan, kebanyakan pesakit kanser payudara yang mendapatkan rawatan di hospital sudah berada pada tahap tiga dan empat.

“Berdasarkan jangkaan kita, bagi pesakit yang berada pada tahap tiga dan empat, jangka hayat mereka dalam tempoh lima tahun sahaja. Bagi pesakit yang berada pada tahap tiga peluang jangka hayat mereka hanya 50 peratus dan tahap empat pula antara 20 hingga 25 peratus sahaja,” katanya. – BH Online

Leave a Reply