Input your search keywords and press Enter.

Kotak Mudah Alih : Inisiatif Atasi Beg Sekolah Berat

Foto : SK Serting Ulu

M Update, 17/1/2020 – Inisiatif ibu bapa dan guru Sekolah Kebangsaan Serting Ulu di Jempol menyediakan kotak plastik mudah alih membantu menyelesaikan masalah murid yang terpaksa menggalas beg berat ke sekolah.

Guru Besar sekolah itu, Zainal Abidin Talib berkata, idea penyediaan kotak mudah alih itu bermula awal Januari ini apabila guru, Nor Hazizah Mohd Sani membuat kumpulan WhatsApp bersama ibu bapa murid membincangkan isu itu. Katanya, seorang penjaga memberi cadangan kepada ahli kumpulan WhatsApp untuk menyediakan kotak mudah alih bagi memudahkan murid meninggalkan buku di kelas tanpa perlu membawanya balik ke rumah.

“Ibu bapa dan penjaga membincangkan hal berkenaan sebelum kesemuanya bersetuju dengan cadangan itu. Seorang penjaga bermurah hati menggunakan wangnya terlebih dahulu untuk membeli kotak mudah alih itu bagi kegunaan 22 murid Tahun Lima,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Foto : SK Serting Ulu

Zainal Abidin berkata, bagi menceriakan kelas dengan longgokan kotak mudah alih itu, setiap kotak berkenaan ditampal dengan maklumat murid berserta gambar.

“Ia dimulakan kelas 5G (salah satu kelas Tahun Lima di sekolah itu) dan akan diikuti pula beberapa kelas lain.

“Saya berharap semua kelas akan melaksanakan kaedah ini jika ia dipersetujui ibu bapa dan penjaga mereka. Kotak mudah alih yang perlu dibeli hanya berharga RM15.90 dan ia boleh digunakan pada sesi persekolahan tahun depan,” katanya.

Zainal Abidin berkata, pihaknya gembira kerana ibu bapa dan pihak sekolah dapat bersatu menggembleng tenaga dan idea itu.

“Ia demi kebaikan bersama dan berharap kumpulan WhatsApp yang diwujudkan (antara guru dan ibu bapa) itu memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.

Sumber : HM Online

Leave a Reply