Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Mahu Bawa Pulang 78 Rakyat Dari Wuhan

M Update, 29/1/2020 – Kerajaan sedia membawa pulang 78 rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan, China dengan segera, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, Kementerian Luar ditugaskan bagi memohon kebenaran China, untuk membolehkan kerajaan mengambil rakyat negara ini dari bandar raya itu yang kini ditutup susulan penularan wabak coronavirus atau 2019-nCoV itu.

“Mereka (rakyat Malaysia itu) sekarang tidak boleh keluar dari Wuhan, tetapi kita ingin berbincang dengan kerajaan China supaya rakyat kita yang tidak dijangkiti boleh pulang ke Malaysia dengan pesawat.

“Sebelum ini, Kerajaan Jepun dapat membawa pulang rakyat mereka dari wilayah berkenaan selepas mendapat kebenaran dari China.

“Menteri Luar akan segera meminta kebenaran daripada kerajaan China untuk membolehkan kita membawa masuk pesawat bagi membawa pulang rakyat kita,” katanya dalam satu sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, semua rakyat Malaysia itu jika dibawa pulang kelak, akan diperiksa dan disaring terlebih dulu sejurus tiba di negara ini. Katanya, jika ada bukti yang mereka telah dijangkiti coronavirus atau telah duduk dalam tempoh yang lama di sana, maka mereka akan dikuarantin di hospital kerajaan.

“Mereka semua boleh dikuarantin sehingga 14 hari, bagi memastikan kesihatan masing-masing tidak bertambah lebih buruk akibat coronavirus ini.

“Kita juga telah diberitahu, rakyat kita di sana berdepan masalah kekurangan makanan apabila bekalan di Wuhan semakin menyusut. Malah ada yang mempunyai stok bekalan cukup untuk empat hari sahaja.

“Kita turut berminat membantu Wuhan. Jadi kalau dibenarkan hantar pesawat bagi mengambil rakyat kita oleh kerajaan China, kita akan membawa makanan, sarung tangan dan topeng muka untuk diberikan kepada penduduk di sana,” katanya.

Mengulas keadaan kesihatan semua rakyat Malaysia yang berada di Wuhan ketika ini, Dr Mahathir berkata, setakat ini kesemua 78 mereka disahkan tidak dijangkiti dengan coronavirus. – BH Online

Leave a Reply