Input your search keywords and press Enter.

Warga Emas Dicekup Jual Makanan Kepada Kaki Ponteng Puasa

M Update. 30/4/2020 – Tindakan seorang lelaki yang menjual makanan siap dibungkus dan diletakkan di tempat duduk belakang kenderaannya yang di parkir di satu kawasan di Simpang Empat setiap pagi mengundang padah apabila dia ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dalam operasi Ops Ramadan hari ini.

Dalam operasi jam 10.15 pagi itu, lelaki berusia 60 tahun itu dikatakan mengambil kesempatan dengan menjual makanan bungkus itu untuk kaki ponteng puasa seawal jam 8.30 pagi sejak awal Ramadan lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, berdasarkan maklumat awam yang diterima, sepasukan dari 10 anggotanya melakukan serbuan di lokasi terbabit dan mendapati lelaki itu sedang menunggu pelanggan. Beliau berkata, ketika itu ada seorang pelanggan baru hendak membeli makanan di situ namun berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggotanya di situ.

“Berikutan itu, lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut kerana menjual makanan bungkus kepada orang Islam yang tidak berpuasa. Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya di sini hari ini.

Radzi berkata, modus operandi yang dilakukan lelaki itu ialah dengan siap membungkus nasi dan lauk sebelum memasukkan dalam plastik hitam dan menjualnya kepada pelanggan yang datang.

Kita akan melakukan operasi dari masa ke semasa untuk membendung kegiatan mereka yang menjual makanan kepada kaki ponteng puasa dan mereka yang tidak berpuasa di negeri ini kerana tidak menghormati bulan Ramadan,” katanya. – BH Online

Leave a Reply