Input your search keywords and press Enter.

Ahli Perniagaan Didakwa Rempuh Koperal Safwan, Ingkar PKP

M Update, 13/5/2020 – Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk hingga merempuh seorang anggota polis di sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada 3 Mei lalu.

K Kalaichelvan, 44, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali. Berdasarkan kertas pertuduhan, Kalaichelvan didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, yang sedang menjalankan sekatan jalan raya di Lebuhraya LEKAS, di sini, jam 2.10 pagi, pada 3 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1) (B) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Kalaichelvan turut didakwa tidak mematuhi isyarat diberikan polis yang menghendakinya berhenti sebelum sampai di sekatan itu, di tempat dan masa sama dan dituduh mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, yang boleh dihukum penjara 12 bulan atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh juga didakwa tidak memiliki lesen memandu yang membenarkannya memandu kenderaan itu di atas jalan raya di tempat dan masa sama. Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya. Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat, menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Kalaichelvan dalam rayuannya menerusi peguam Mohd Haijan Omar memohon dikenakan jaminan ringan dengan alasan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai anak kecil. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis dan menetapkan 18 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, Kalaichelvan, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dalam mana-mana kawasan jangkitan seperti yang diwartakan dalam Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen Peraturan 11 (1) Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin, menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli, membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – BH Online

Leave a Reply