Input your search keywords and press Enter.

Tunai Haji: Malaysia Tunggu Keputusan Arab Saudi

M Update, 20/5/2020 – Kerajaan belum membuat keputusan sama ada membenarkan atau tidak jemaah Malaysia menunaikan haji tahun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang keputusan akan dibuat selepas menerima pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi.

“Setakat ini seperti kita tahu kerajaan Arab Saudi belum pun membuat sebarang pengumuman sama ada tahun ini boleh mengerjakan haji atau pun tidak.

“(Cuma) setakat ini perintah berkurung untuk hari raya dilaksanakan tetapi untuk mengerjakan haji masih belum ada sebarang pengumuman.

“Saya percaya, keputusan untuk menghantar (jemaah) atau tidak tertakluk kepada pengumuman yang akan dibuat Arab Saudi,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan kerajaan sama ada mahu menghantar jemaah haji mahupun tidak tahun ini. Katanya, kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan memutuskan sebarang tindakan dan keputusan sebaik Arab Saudi membuat pengumuman rasmi.

“Kalau dia (Arab Saudi) kata buka mungkin selepas itu menteri agama akan membuat keputusan dan mengumumkan tentang apa yang akan dilakukan Malaysia. Jadi kita tunggu sajalah tidak guna kita buat (putuskan) sekarang kalau kerajaan Arab Saudi belum buat sebarang pengumuman,” katanya.

Leave a Reply