Input your search keywords and press Enter.

Lebih Kurang 1,000 Jemaah Dibenarkan Tunai Haji Tahun Ini

M Update, 24/6/2020 – Arab Saudi akan membenarkan hanya kira-kira 1,000 jemaah sedia ada di negara ini untuk menunaikan haji tahun ini, dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19.

Keputusan untuk tidak menerima kemasukan jemaah haji dari luar Arab Saudi itu adalah kali pertama dalam sejarah moden negara ini. Bilangan itu jelas merudum berbanding 2.5 juta jemaah yang menunaikan ibadat haji pada tahun lalu. Namun setakat ini, proses pemilihan jemaah untuk musim haji kali ini masih belum jelas.

“Ia akan membabitkan kira-kira 1,000 jemaah, mungkin kurang, mungkin lebih sedikit. “Bilangannya tidak akan menjadi puluhan atau ratusan ribu jemaah tahun ini,” kata Menteri Haji, Mohammad Benten, kepada pemberita di sini.

Sementara itu Menteri Kesihatan, Tawfiq al-Rabiah, memaklumkan bahawa haji tahun ini akan hanya terhad kepada jemaah berumur bawah 65 tahun dan tiada menghidap sebarang penyakit kronik. Katanya, jemaah terbabit akan melalui ujian saringan COVID-19 sebelum tiba di Tanah Suci Makkah dan dikehendaki menjalani kuarantin di rumah selepas menunaikan ibadat haji.

Arab Saudi berdepan peningkatan jangkitan COVID-19 yang kini mencecah lebih 164,000 kes, iaitu tertinggi dalam kalangan negara Teluk, dengan mencatatkan hampir 1,350 kematian. Menurut Kerajaan Arab Saudi, ibadat haji tahun ini akan dibuka kepada jemaah pelbagai warganegara yang sudah berada di negara ini.

Sehubungan itu, Mohammad berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan perwakilan diplomatik di negara ini bagi memilih jemaah warga asing yang tinggal di Arab Saudi dan memenuhi kriteria kesihatan ditetapkan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *