Input your search keywords and press Enter.

Virtual Mini Job Hunt Tawar 4,609 Pekerjaan Kepada Peminjam PTPTN

M Update, 26/6/2020 – Sebanyak 4,609 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang ditawarkan kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi program kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata program ‘Virtual Mini Job Hunt for PTPTN Borrowers’ yang membabitkan 20 majikan itu dijalankan selama empat hari bermula 30 Jun ini.

Menurut beliau, pada 30 Jun dan 1 Julai, diadakan sesi webinar yang mendedahkan peminjam PTPTN mengenai kaedah mempersiapkan diri, sementara pada 2 dan 3 Julai, diadakan proses temu duga secara dalam talian.

“PTPTN melihat masalah yang dihadapi peminjam sukar mencari pekerjaan sebagai salah satu masalah yang turut dirasai,” katanya dalam sidang media sempena pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara PTPTN dan Perkeso, semalam.

Ahmad Dasuki berkata ‘Virtual Mini Job Hunt for Borrowers’  itu terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang tamat pengajian dari institusi pengajian tinggi dan politeknik termasuk mereka yang sudah bekerja tetapi ingin meningkatkan kerjaya mereka.

“Peminjam yang berminat boleh membuat pendaftaran bermula hari ini sehingga 3 Julai depan di laman web https://careerfair.perkeso.gov.my,” katanya, sambil menambah tiada sebarang yuran penyertaan dikenakan.

Dalam pada itu, Ahmad Dasuki berkata peminjam yang berjaya mendapatkan pekerjaan melalui program berkenaan, gaji mereka tidak akan ditolak secara automatik untuk membayar pinjaman PTPTN.

Mengenai MoU antara PTPTN dan Perkeso, beliau berkata terdapat empat inisiatif di bawah kerjasama strategik itu iaitu membantu peminjam PTPTN yang telah bergraduat dan masih belum mendapatkan pekerjaan melalui Program Mencari Pekerjaan Perkeso.

Inisiatif kedua, menyediakan peluang pekerjaan kepada peminjam PTPTN untuk mempersiapkan diri dengan mengadakan webinar dan latihan bagi membekalkan graduan-graduan ini sebelum proses temuduga.

Inisiatif ketiga pula adalah menggalakkan peminjam PTPTN yang memerlukan pekerjaan mendaftar diri dalam portal PERKESO iaitu EISJob dan inisiatif keempat adalah melibatkan kolaborasi menganjurkan ‘Career Program’, katanya.

Turut hadir pada majlis menandatangani MoU itu Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata syarikat 99 Speed Mart Sdn Bhd menyediakan sebanyak 3,890 kekosongan, iaitu jumlah pekerjaan terbesar melalui program ‘Virtual Mini Job Hunt’  itu.

“Pelbagai bidang ditawarkan dalam program ini antaranya pekerjaan dalam bidang pendidikan,  pembuatan dan perkhidmatan, perbankan dan runcit. Gaji paling rendah mestilah melebihi gaji minimum dan paling tinggi sekitar RM4,000 ke RM5,000,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply