Input your search keywords and press Enter.

Warga Asing Dibenarkan Solat Jemaah, Solat Jumaat Selepas Keadaan Stabil – Zulkifli

M Update, 7/7/2020 – Kerajaan perlu memastikan beberapa langkah diambil bagi mengawal penularan COVID-19 di masjid dilaksanakan sepenuhnya, sebelum membenarkan warga asing menunaikan solat Jumaat di rumah ibadat itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata sebagai permulaan, pihaknya perlu memastikan setiap warga tempatan beragama Islam mempunyai peluang untuk untuk bersolat Jumaat di masjid.

Ketika ini, katanya, kerajaan juga membenarkan solat Jumaat diadakan dalam skala yang lebih besar berbanding sebelum ini.

“Langkah ketiga, kita hadkan satu pertiga kapasiti di masjid. Keempat kita lebarkan lagi (ruang solat) berdasarkan penjarakan sosial oleh kerana ramai orang. Ini saya cakap di Wilayah Persekutuan.

“Sebagai contoh, kita lebarkan di bahagian sayap kiri dan kanan selain luar masjid. Tujuannya kita tidak mahu orang kata dia tak dapat nak solat berjemaah.

“Kita juga cuba ‘hidupkan’ surau untuk kita lakukan solat Jumaat. Kita mengizinkan mengikut difatwakan untuk surau melakukan solat Jumaat dengan syarat mereka minta kebenaran Iabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan pejabat mufti supaya ia boleh dipantau sebaik mungkin.

“Apabila keadaan ini sudah stabil dan difahami sepenuhnya, Insya-Allah selepas ini kita akan tengok pula dengan keadaan warga asing (kebenaran untuk mereka solat Jumaat di masjid),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Cuci-Cuci Masjid dan Musa’adah COVID- 19 di Masjid Al-Khasyi’in, Desa Petaling di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, pihaknya akan membaiki kekurangan dan menambah baik pendekatan dan langkah terbabit dari semasa ke semasa selepas mendapat laporan daripada pihak berkaitan setiap minggu.

“Mereka yang tidak dapat hadir untuk solat Jumaat, boleh menunaikan solat Zuhur di rumah. “Setakat ini, setiap dasar dibuat dengan cermat. Alhamdulillah keadaan masih baik di Malaysia dengan izin Allah daripada segi pengawalan COVID-19.

“Hal ini dapat dilihat mengikut angka (kes positif COVID-19) dilaporkan setiap hari, kita perlu kawal wabak itu dengan sebaiknya,” katanya.

Awal bulan lalu, media melaporkan kelonggaran syarat mendirikan solat berjemaah dan Jumaat berasaskan keluasan masjid hanya tertakluk kepada warga tempatan. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipetik berkata kelonggaran itu tidak termasuk bagi warga asing di negara ini.

Leave a Reply