Input your search keywords and press Enter.

Pelitup Muka Jenis Kain Kurang Sesuai Di Tempat Sesak – Pakar

M Update, 24/7/2020 – Orang ramai tidak digalakkan memakai pelitup muka jenis kain ketika berada di kawasan sesak atau tumpuan umum kerana berisiko dijangkiti COVID-19.

Sebaliknya, pemakaian pelitup muka kategori tiga lapisan paling sesuai digunakan kerana boleh menghalang virus terbabit tersebar melalui pengudaraan jika individu terkena titisan cecair dari hidung atau mulut yang dijangkiti COVID-19.

Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata penggunaan pelitup muka sebenarnya bergantung kepada keadaan di mana individu itu berada.

“Pelitup muka kategori tiga lapisan paling sesuai digunakan di kawasan berisiko tinggi iaitu lokasi tumpuan awam. Bagaimanapun, jika sekadar pergi memancing seorang diri dan di kawasan berkenaan tidak ramai orang, memadai jika guna pelitup muka yang biasa,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Dr Sazaly berkata, pelitup muka jenis N95 pula lebih sesuai gunakan oleh petugas di hospital kerana mereka berdepan risiko tinggi setiap hari. Mulai 1 Ogos ini, pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yakub, yang menegaskan langkah itu diambil berikutan penambahan kluster-kluster jangkitan COVID-19 baharu yang dikenal pasti, selain atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu. Mengulas lanjut, Dr Sazaly berkata, arahan supaya mewajibkan pemakaian pelitup muka itu tepat pada masanya kerana orang ramai mula mengambil mudah terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Saya amat bersetuju dengan arahan terbabit. Pemakaian pelitup muka ini penting untuk membantu membendung penularan COVID-19. Jika boleh, elakkan pergi ke kawasan sesak dan tumpuan awam. Jika terlihat restoran itu penuh, elakkan makan di situ,” katanya.

Sumber : BH Online