M Update, 17/9/2020 – Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak pernah membincangkan cadangan untuk mendaftarkan, melesenkan atau mewajibkan basikal di negara ini menggunakan nombor plat pendaftaran sama seperti kenderaan bermotor.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata cadangan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu tidak pernah dibangkitkan kepadanya.
“Saya ingin menegaskan bahawa cadangan terbabit tidak pernah dibincangkan di peringkat kementerian. Kementerian juga menafikan sama sekali untuk melaksanakan cadangan seperti itu malah cadangan ini tidak pernah dibangkitkan kepada saya.
“Banyak lagi faktor perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh kementerian bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang melaporkan bahawa MIROS sedang mengkaji keperluan supaya setiap basikal di negara ini perlu didaftar, dilesen dan diletakkan nombor plat pendaftaran sama seperti kenderaan bermotor. Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, sebarang komen yang dibuat oleh MIROS seperti yang dilaporkan media tidak menjadi dasar sehingga melalui pelbagai proses dan seterusnya mendapat kelulusan menteri.
“Agensi di bawah MOT perlu membuat kajian menyeluruh atau cadangan untuk analisis dan pertimbangan pengurusan kanan MOT termasuk Pejabat Menteri sebelum proses dimulakan bagi melaksanakan apa-apa dasar di bawah bidang kuasa MOT.
“Semua pengumuman dasar pramatang adalah dilarang tanpa persetujuan menteri,” katanya.
Mengenai keselamatan penunggang basikal, beliau menjelaskan, MOT melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan MIROS sentiasa mempromosikan program advokasi keselamatan secara berterusan bersama pelbagai pihak. Katanya, program berkaitan keselamatan itu juga akan dibincangkan dan dikemaskini pada mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya yang akan berlangsung bulan ini.
“Dalam masa sama, saya ingin menasihatkan semua penunggang atau penggemar sukan berbasikal supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan ketika berbasikal di jalan raya kerana turut terikat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BH Online