M Update, 18/9/2020 – Lebih 600 petugas kesihatan di Malaysia telah dijangkiti COVID-19 sejak Februari sehingga semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Daripada jumlah itu, 406 adalah petugas di hospital kerajaan manakala selebihnya petugas dari hospital swasta dan hospital universiti, katanya.
Menurut Dr Adham, antara langkah diambil bagi membantu petugas Kementerian Kesihatan (KKM) kembali bersemangat selepas dijangkiti wabak itu adalah dengan menyediakan talian sokongan psikososial melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).
“Mereka yang terkesan dengan kes-kes berkaitan psikososial, selain bertemu dengan pakar psikiatri, kami juga akan terus merawat mereka dan tidak akan membenarkan lagi mereka untuk merawat pesakit COVID-19,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan ‘Putrajaya In Orange’ sempena Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2020, semalam.
Menurutnya, antara isu yang diketengahkan petugas KKM melalui talian sokongan psikososial ialah tekanan kerana berjauhan dengan keluarga, terpaksa patuh pada Prosedur Operasi Standard yang ketat, keletihan dan isu berkaitan tuntutan bayaran elaun khas COVID-19.
Mengenai Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2020, tiga bangunan dan dua jambatan di Putrajaya diterangi dengan cahaya lampu jingga selama empat hari bermula malam ini.
Bangunan tersebut ialah Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Zenith Hotel, manakala dua jambatan itu ialah Jambatan Seri Warisan dan Jambatan Seri Saujana. Dr Adham berkata bangunan lain di sekitar Putrajaya pula dinyalakan dengan pencahayaan fasad jenis Festive Mode warm white pelbagai tona dan spektrum jingga.
“Ini simbol solidariti serta komitmen terhadap keselamatan pesakit. Ia juga sebagai tanda penghargaan kepada semua anggota kesihatan atas jasa mereka dalam memastikan keselamatan pesakit, khususnya semasa pandemik COVID-19,” katanya.
Dr Adham berkata objektif utama Hari Keselamatan Pesakit Sedunia pada tahun ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan anggota kesihatan yang berkait rapat dengan keselamatan pesakit.
“Anggota kesihatan perlu sihat dari segi fizikal dan mental untuk memastikan keselamatan pesakit terjaga terutamanya dalam krisis COVID-19,” katanya.
Sumber : BERNAMA